Kerajaan disaran tumpu kepada pekerja kesihatan di lapangan

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran memberi tumpuan dalam aspek pengagihan bajet kepada pekerja kesihatan yang bertugas di lapangan.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, sebanyak 80 peratus tugas-tugas menangani pandemik Covid-19 membabitkan kerja di lapangan namun peruntukan kerajaan dilihat tidak serata kerana hanya menumpukan agihan kewangan kepada fasiliti kesihatan di hospital pusat.

“80 peratus kerja-kerja pandemik berada di lapangan tetapi mereka kurang kakitangan.

"Dirasakan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak memberi penumpuan lebih kepada kerja-kerja di lapangan yang merupakan kerja penting.

“Ia adalah tugas paling penting untuk mengawal pandemik sebelum mereka sakit dan sebelum mereka masuk hospital,” katanya dalam program Wacana Sinar edisi ke-284 bertajuk ‘Demokrasi Tanpa Roh’ yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Khamis.

Penasihat (Penyelidik) Khazanah Research Institute, Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan turut menjadi panels manakala Ismail Adnan sebagai moderator.

Dalam pada itu, Dr Zainal Ariffin berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu melibatkan pakar-pakar dan individu tanpa latar belakang parti.

Menurutnya, selain daripada pandangan pihak pembangkang, kerajaan perlu mempertimbangkan pandangan daripada sudut pakar dan masyarakat bagi memastikan keputusan dibuat secara adil serta saksama.

Artikel Berkaitan:

“Saya rasa bila (lakukan) begini rakyat lebih yakin dan percaya terhadap data statistik dan cadangan-cadangan penambahbaikan.

“Diharap pihak pembangkang betul-betul jujur dan ikhlas membantu kerajaan untuk mengatasi pandemik Covid-19,” katanya.