‘Tanggungjawab ini amanah sangat besar’- Tengku Zafrul

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan beliau melantiknya sebagai Menteri Kewangan dalam barisan kabinet baharu.

“Alhamdulillah, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, atas kepercayaan beliau melantik saya sebagai Menteri Kewangan.

"Sesungguhnya tanggungjawab ini adalah amanah yang sangat besar dan Insya-ALLAH, saya dan #TeamMOF, serta agensi-agensi di bawah MOF akan terus melakukan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi Negara," katanya menerusi akaun Facebook miliknya.

Pelantikan beliau seperti dijangkakan banyak pihak, apabila sekali lagi dilantik sebagai Menteri Kewangan untuk menganggotai kabinet baharu yang dibentuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada Jumaat.

Beliau dilantik buat kali pertama sebagai Menteri Kewangan pada 9 Mac 2020 yang sebelum ini merupakan ketua pegawai eksekutif kumpulan dan pengarah eksekutif CIMB Group Holdings Bhd.

Sepanjang 17 bulan sebagai Menteri Kewangan dalam kabinet yang dibentuk Muhyiddin, Tengku Zafrul juga dilantik sebagai Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk memantau pelaksanaan strategi dan langkah bantuan, serta mengambil tindakan proaktif dalam menangani Covid-19 yang menimbulkan krisis kesihatan dan ekonomi.

Tengku Zafrul juga bertanggungjawab terhadap Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana).

Sepanjang tempohnya di kementerian, kerajaan telah melaksanakan lapan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion untuk mengatasi krisis kesihatan sejak pandemik itu melanda negara tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Antara pakej itu ialah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara; Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat; Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia; Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi; serta Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi.