X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Lantikan semula Tengku Zafrul beri impak positif pasaran modal

Tengku Zafrul Abdul Aziz
A
A

KUALA LUMPUR - Pelantikan semula Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai menteri kewangan memberi impak positif bagi pasaran modal, perniagaan dan rakyat secara umumnya kerana ia memupuk keyakinan terhadap kesinambungan dasar negara.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, dengan bekas jurubank itu kekal dalam kabinet kerajaan, akan ada kesinambungan dasar dan kejelasan tentang hala tuju dasar fiskal negara.

“Ini bermakna pendirian kerajaan terhadap dasar fiskal semasa dijangka berkembang kerana ekonomi negara ketika ini masih terjejas akibat daripada pandemik Covid-19,” katanya kepada Bernama.

Semasa tempoh perkhidmatannya, Tengku Zafrul juga dilantik sebagai Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi memantau pelaksanaan strategi dan langkah-langkah bantuan serta mengambil langkah proaktif dalam menangani krisis ekonomi dan kesihatan yang disebabkan oleh Covid-19.

Beliau juga bertanggungjawab bagi Agensi Pelaksanaan Ekonomi Dan Koordinasi Strategik Nasional (Laksana).

Mohd Afzanizam berkata, pelantikan semula itu penting terutamanya ketika negara masih sedang bergelut dengan pandemik tersebut sejak tahun lepas.

“Langkah sewajarnya terutamanya bagi pakej rangsangan yang sesuai dianggap sebagai amat penting bagi memastikan ekonomi Malaysia mampu pulih dengan pantas,” katanya.

Mengulas mengenai portfolio lain, beliau berkata, pelantikan Khairy Jamaluddin sebagai menteri kesihatan juga adalah satu pilihan baik berikutan rekod prestasi cemerlang Khairy semasa menerajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terutamanya berkaitan program vaksinasi.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Malaya Dr Mohammad Tawfik Yaakub yang sependapat dengan Mohd Afzanizam berkata pelantikan semula Tengku Zafrul sebagai menteri kewangan adalah isyarat jelas bahawa beliau telah memperlihatkan prestasi yang cemerlang sebelum ini dan wajar dikekalkan bagi meneruskan proses pemulihan ekonomi yang telah dirancang oleh kerajaan.

“Pelantikan Khairy sebagai Menteri Kesihatan juga adalah tepat dan kena pada calonnya.

“Saya menilai rakyat menyambut baik pelantikan ini ketika kita memerlukan seorang tenaga muda berkaliber yang mampu mengendalikan pandemik Covid-19 di negara kita tanpa menghiraukan ‘permainan politik’ demi memastikan kesihatan dan keselamatan hidup rakyat terus terjamin,” katanya.

Tiada tempoh ‘bulan madu’ kepada Jemaah menteri

Mohammad Tawfik juga berpandangan bahawa tiada tempoh bulan madu kepada jemaah menteri kerana mereka berdepan dengan cabaran dan halangan getir dalam aspek kesihatan, ekonomi dan politik.

“Jemaah menteri wajib memulihkan keyakinan rakyat dengan kadar segera menerusi strategi baharu yang luar biasa bagi menangani pandemik Covid-19 dan ekonomi.

“Inilah sebenarnya formula penting bagi mewujudkan kestabilan politik dan pemulihan utama yang perlu diberi perhatian serta merta oleh kerajaan.

“Bagi saya, kabinet ini perlu diberi peluang untuk membuktikan mereka mampu melaksanakan tugas lebih drastik dan agresif,” katanya.- Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!