Pendekatan Keluarga Malaysia harus bercirikan kepentingan rakyat

Dr Noor Nirwandy
Dr Noor Nirwandy
A
A
A

SHAH ALAM - Pendekatan Keluarga Malaysia harus bercirikan kepentingan rakyat dan ia boleh dilaksanakan dengan mendapatkan maklumat serta keluhan secara terus daripada rakyat sendiri.

Penganalisis Keselamatan dan Politik daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diharap memberi penambahbaikan khususnya dalam isu berkepentingan masyarakat secara mikro.

Ujar beliau, isu keselamatan kesihatan dan keselamatan ekonomi perlu terus diberi lonjakan utama dalam penyampaian yang lebih berkesan pada masyarakat.

“Vaksinasi perlu terus berjalan secara menyeluruh dan bersasar mengikut kawasan penduduk serta sistem sokongan seperti pemantauan berkala bagi kuarantin kendiri, garis panduan pembukaan sektor ekonomi terutamanya yang melibatkan warga asing perlu diperbaiki.

“Usaha pemudah cara bagi industri kecil dan sederhana dan ekonomi digital melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) dari segi meneruskan kitaran ekonomi dan padanan pemasaran digital.

“Ia bagi memastikan kelangsungan ekonomi penjaja kecil dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di samping memastikan tiada monopoli sektor perniagaan tertentu khususnya oleh warga asing,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Noor Nirwandy berkata, usaha berterusan dari aspek pertahanan dan keselamatan dalam negeri berkaitan ancaman subversif serta perubahan geopolitik serantau dan global juga tidak boleh diketepikan.

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) perlu mendapatkan inovasi penambahan pembekalan produk asas tani dan makanan secara domestik dan mengurangkan kebergantungan pada ekonomi luar bagi sektor asas tani dan rantaian makanan.

Artikel Berkaitan:

“Pengekalan program penambahbaikan infrastruktur asas di bawah Kementerian Kerja Raya di Sabah dan Sarawak khususnya perlu diteruskan sebagai antara usaha utama sokongan kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN),” ujarnya.

Tambahnya, sudah tiba masanya untuk semua pihak fokus sepenuhnya pada pemulihan negara, elakkan kecenderungan politik melampau dan membantu proses semak imbang berkepentingan negara.

“Ahli politik dan masyarakat pengguna media sosial juga digesa melakukan gencatan komen negatif berkecenderungan politik agar usaha pemulihan dapat dijayakan secara bersama.

“Pendekatan secara mikro serta peluang masyarakat untuk menyalurkan maklum balas secara terus tanpa tapisan berupaya menjayakan PPN dan aspirasi Keluarga Malaysia dengan lebih berkesan,” tambahnya.