328 sukarelawan belia bantu mangsa tragedi kepala air

Wasitah (kiri) menyampaikan sumbangan kepada seorang mangsa tragedi kepala air yang juga ahli belia di Pejabat Majlis Belia Daerah Yan pada Jumaat.
Wasitah (kiri) menyampaikan sumbangan kepada seorang mangsa tragedi kepala air yang juga ahli belia di Pejabat Majlis Belia Daerah Yan pada Jumaat.
A
A
A

YAN - Seramai 328 sukarelawan belia dari seluruh negara yang berdaftar dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah Yan turun padang bagi membantu mangsa tragedi kepala air, dekat sini sejak 18 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Datuk Wasitah Mohd Yusof berkata, sebanyak 37 buah rumah yang terjejas akibat banjir telah dibersihkan oleh sukarelawan belia melalui aktiviti gotong-royong sepanjang tempoh hampir 10 hari ini.

Menurutnya, lebih 20 pertubuhan sukarelawan belia telah turun padang menghulurkan bantuan terutamanya pada hujung minggu manakala pemilihan kawasan dan rumah yang akan dibersihkan telah diatur oleh PKOB Yan.

"Badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada belia antara pihak yang konsisten turun padang selain NGO lain yang turut membantu penduduk sejak tragedi kepala air ini berlaku.

"Selain itu, tugas membantu penduduk akan diteruskan oleh NGO seperti Majlis Belia Negeri Kedah dan MBD Yan sehingga proses membersih rumah penduduk dan kawasan terjejas selesai," katanya pada sidang akhbar di Pejabat MBD Yan pada Jumaat.

Sebelum itu, Wasitah menyertai Misi bantuan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di daerah Yan dengan membersihkan tiga buah rumah di Kampung Titi Bakong, dekat sini.

Mengulas lanjut, beliau memuji komitmen ditunjukkan oleh NGO belia terutamanya yang berada di Kedah kerana proses pembersihan rumah bukan mampu dilakukan dalam tempoh yang singkat.

"Proses membantu membersihkan sesebuah rumah ini bukan sehari sahaja boleh siap tetapi mengambil masa berhari-hari untuk diselesaikan sehingga dapat dihuni dengan selesa oleh penghuninya dan ini komitmen diberikan sukarelawan belia," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan, pihaknya turut memegang kepada prosedur operasi standard (SOP) sukan dan rekreasi bahawa semua sukarelawan yang turun ke kawasan bencana sudahpun divaksin.

Jelas beliau, langkah berjaga-jaga tersebut diambil bagi menjamin keselamatan penduduk dan juga sukarelawan belia yang terlibat.