Koop Sahabat umum pulangan dividen 7.5 peratus

Koop Sahabat. Gambar kecil: Mohd Najib Mohd Noor
Koop Sahabat. Gambar kecil: Mohd Najib Mohd Noor
A
A
A

KOPERASI Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) mengumumkan pulangan dividen sebanyak 7.5 peratus bersamaan RM3.9 juta kepada 235,645 anggotanya.

Pengerusinya, Mohd Najib Mohd Noor berkata, pembayaran dividen tersebut adalah berdasarkan modal syer bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 di mana dividen bersih yang diterima oleh setiap anggota selepas ditolak pembayaran zakat.

“Koop Sahabat masih konsisten memberikan pulangan tinggi kepada anggotanya biarpun momentum perniagaan Koop Sahabat terkesan akibat pandemik Covid-19 sejak awal tahun lalu.

“Pun begitu, Koop Sahabat masih mencatatkan keuntungan walaupun berlaku kenaikan pada kos serta mempunyai pendapatan yang kukuh menerusi aktiviti perniagaan Sahabat Ar-Rahnu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Najib berkata, keupayaan konsisten dalam membayar dividen pada kadar tinggi membuktikan Koop Sahabat mengutamakan anggotanya sekali gus memberikan pulangan setimpal daripada pelabur dalam kalangan usahawan B40.

“Di samping dapat membantu meringankan beban kewangan, dividen diberikan menjadi rangsangan kepada anggota bagi memajukan perniagaan diusahakan anggota.

“Koop Sahabat turut menyalurkan hampir RM2 juta peruntukan bagi memberi keperluan bantuan kepada anggota dan bukan anggota menerusi tabung kebajikan, agihan wakalah zakat serta dana sumbangan lain sehingga Ogos 2021,” ujarnya.

Selain itu, ujarnya, Koop Sahabat pertama kalinya turut mengeluarkan produk kecantikan Duta Beautee bagi perkhidmatan peruncitan memandangkan 99 peratus daripada ahlinya adalah wanita.

Artikel Berkaitan:

“Koop Sahabat meneliti pelaburan mampu memberikan kesan faedah tinggi seperti bidang hartanah selain perkhidmatan perladangan yang turut menunjukkan peningkatan harga sawit.

“Kami turut melancarkan produk kecantikan Duta Beautee bagi perkhidmatan peruncitan bahkan sedang membimbing ejen dan stokist terdiri daripada Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM),” jelasnya.

Tambahnya, pencapaian terkini turut memperlihatkan pembukaan dua cawangan baharu Sahabat Ar-Rahnu terletak di Bertam, Pulau Pinang dan Pendang, Kedah.

“Pembukaan cawangan baharu ini menjadikan jumlah cawangan Sahabat Ar-Rahnu kepada 21 buah cawangan di seluruh negara.

“Ini bertujuan bagi merancakkan lagi perkhidmatan Ar-Rahnu yang mendapat sambutan memberangsangkan daripada masyarakat untuk perkhidmatan pajak gadai emas patuh syariah,” menurutnya.