Kepentingan 32 juta pengguna terus diutamakan: Rosol

Rosol
Rosol
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid yang dilantik semula sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meneruskan usaha memastikan hak dan kepentingan 32 juta pengguna di negara ini terus diutamakan.

Rosol berkata, peluang kembali bertugas di KPDNHEP juga akan digunakan untuk terus memacu pemulihan dan pertumbuhan sektor perdagangan dalam negeri yang terjejas kesan cabaran pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.

“Terima kasih Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob atas kepercayaan dan keyakinan untuk saya kembali meneruskan khidmat di KPDNHEP kekal bergandingan bersama Datuk Sri Alexander Nanta Linggi.

“Insya-ALLAH, sama-sama kita menggembleng usaha dan tenaga supaya semua kembali dapat menikmati kehidupan yang lebih baik daripada sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Rosol berkata, dengan kepercayaan ini beliau akan meneruskan pelbagai perancangan yang sudah dirangka dan dirancang sebelum ini untuk dimanfaatkan rakyat.

Beliau turut merakamkan penghargaan buat Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepercayaan diberikan kepadanya sebagai Timbalan Menteri KPDNHEP sebelum ini dan di bawah Perdana Menteri baharu.

“Jawatan ini bukan kebanggaan tetapi tanggungjawab untuk agama bangsa dan negara.

"Terima kasih juga kepada seluruh keluarga, sahabat handai dan semua yang mendoakan terbaik untuk saya,” katanya.

Artikel Berkaitan: