Perak negeri kedua tertinggi menerima pelancong domestik

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Perak menjadi negeri kedua tertinggi menerima kedatangan pelawat domestik dengan mencatatkan 13.17 juta orang pada tahun 2020 selepas Selangor berbanding 21 juta orang pada 2019.

Tourism Perak dalam satu kenyataan memaklumkan jumlah berkenaan mencatatkan penurunan sebanyak 37.5 peratus atau bersamaan 7.89 juta pelawat.

"Daripada jumlah tersebut, 4.89 juta merupakan pelancong domestik bermalam dan secara tidak langsung Perak masih lagi menduduki kedudukan kedua tertinggi selepas Pahang.

"Jumlah keseluruhan pelancong domestik yang bermalam pada 2020 juga telah menunjukkan penurunan ketara sebanyak 51.7 peratus atau bersamaan 5.23 juta pelancong berbanding 2019 iaitu 10.1 juta pelancong," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu lagi, purata perbelanjaan perjalanan pelawat domestik turut menunjukkan penurunan sebanyak 11.3 peratus daripada RM310 pada 2019 kepada RM275 pada 2020 dengan anggaran perbelanjaan RM3.8 bilion tahun lalu.

Sementara itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, berdasarkan Laporan Survei Pelancongan Domestik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia 2020, Perak masih menjadi pilihan pelancong domestik walaupun berhadapan dengan situasi sukar.

"Justeru kita perlu mengambil peluang melalui kekuatan negeri sebagai destinasi pelancongan domestik pilihan utama negara untuk memulih dan menjana ekonomi rakyat Perak yang terlibat dalam sektor perkhidmatan ini.

"Negeri Perak kini telah berada di Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang membolehkan sektor pelancongan beroperasi walaupun tidak sepenuhnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mengambil beberapa inisiatif strategik dan kerjasama erat dengan pemain industri bagi menjayakan program vaksinaksi untuk mengurangkan jurang bilangan perkerja industri yang belum divaksinasi bermula bulan depan.

"Kerajaan negeri juga akan mengambil beberapa insiatif dan pelan tindakan bagi merancakkan industri ini termasuk melancarkan semula baucer pelancongan #TravelPerakLah, mempergiatkan aktiviti promosi melalui media sosial rasmi Tourism Perak serta program pemadanan perniagaan, webinar dan sesi 'engagement' secara maya.

"Selain itu, penganjuran secara fizikal dijangka akan dijalankan bermula November ini dan muzik video rasmi pelancongan Perak bakal dilancarkan pada Disember ini," katanya.