Solekan Jalur Gemilang semarakkan semangat Hari Kebangsaan

Faridatul menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan apabila menggunakan kemahiran solekan yang dimiliki untuk melukis Jalur Gemilang pada wajah modelnya.
Faridatul menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan apabila menggunakan kemahiran solekan yang dimiliki untuk melukis Jalur Gemilang pada wajah modelnya.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pemilik butik pengantin di sini, tampil menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan apabila menggunakan kemahiran solekan yang dimiliki untuk melukis Jalur Gemilang pada wajah modelnya.

Pemilik Qaseh Inspire Bridal (QIB) Faridatul Aswani Ahmad Zidan, 39, berkata, solekan tersebut merupakan terjemahan semangat patriotik serta rasa cintanya kepada negara.

Ibu kepada empat cahaya mata berusia 8 hingga 15 tahun itu berkata, dia sentiasa mencari kelainan pada solekan dan setelah berbincang dengan suaminya Mohd Harmizi Mahmood, 44, mereka kemudian bersetuju menyesuaikan kemahiran dengan sambutan Hari Kebangsaan.

"Saya menggunakan pengalaman yang ada dan untuk menyiapkan solekan Jalur Gemilang pada wajah mengambil masa selama tiga jam menggunakan alat solekan khas 'Face Make Up' untuk memastikan solekan dihasilkan adalah yang terbaik.

"Solekan paling rumit adalah pada bahagian bintang yang mempunyai 14 bucu. Warna solekan juga membawa maksud tersendiri seperti garis merah pada bahagian kening menandakan keberanian dan kebebasan, garisan biru di kelopak mata mencerminkan keharmonian serta keamanan negara," katanya kepada pemberita ketika ditemui di butiknya di Jalan Guchil Bayam, di sini pada Jumaat.

Bercerita lanjut, Faridatul Aswani, seorang Pembantu Tadbir Perkeranian dan Operasi Jabatan Farmasi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) berkata sebelum pandemik Covid-19, beliau dan suami menghasilkan pakaian dengan tema Hari Kebangsaan.

“Sebelum pandemik setiap kali sambutan Hari Kebangsaan, kami akan menghasilkan pakaian yang dijahit dan direka oleh suami.

"Pada masa itu, seawal 6 pagi butik ini akan dipenuhi dengan anak-anak sekolah datang mengenakan kostum yang ditempah, kini kami mencari kelainan dengan membuat solekan Jalur Gemilang pada wajah dan tampilkan menerusi aplikasi Tik Tok dan Facebook," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: