Pulau Pinang tunggu kelulusan MOSTI

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang telah menghantar surat kepada Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berhubung kelulusan proses pinjaman vaksin daripada Selangor.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang berhasrat meminjam bekalan 200,000 dos vaksin daripada negeri itu seperti yang diumumkan Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr Norlela Ariffin pada Rabu.

Bagaimanapun jelasnya, proses itu masih tertakluk kepada kelulusan daripada MOSTI.

"Pada Khamis, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menghantar surat kepada Ketua Setiausaha MOSTI berhubung kelulusan proses peminjaman serta pemulangan membabitkan jumlah vaksin dinyatakan.

"Dalam pada itu, saya juga akan mengadakan perbincangan dalam talian bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada petang ini yang diharap bakal membuahkan hasil demi kepentingan rakyat di kedua-dua negeri," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Kon Yeow turut menzahirkan penghargaan kepada Amirudin atas sumbangan 20,000 dos vaksin untuk Pulau Pinang.

Kon Yeow berkata, sumbangan itu diharap dapat membantu merancakkan lagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini.

Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng atas inisiatif mendapatkan sumbangan berkaitan daripada Menteri Besar Selangor.

Artikel Berkaitan: