Selangor cadang beri pengurangan cukai

Loy Sian
Loy Sian
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mempunyai perancangan bagi memberi pengurangan cukai pintu dan tanah kepada pemain industri pelancongan di negeri itu yang terjejas berikutan impak Covid-19.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asal Selangor, Hee Loy Sian berkata, satu laporan lengkap sedang dibangunkan pada masa ini dan akan dibentangkan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang giat melaksanakan mesyuarat bersama beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung jumlah hotel dan persatuan pelancongan terlibat yang layak menerima inisiatif tersebut.

“Kalau beri pemotongan cukai pintu dan tanah sepenuhnya, ia akan beri impak kewangan kepada setiap PBT kerana hasil utama kerajaan negeri adalah melaui cukai berkenaan.

“Sebab itu kami sedang mesyuarat dengan setiap PBT kerana kemungkinan ada cadangan bagi pengurangan cukai diberikan kepada pihak terlibat,” katanya sewaktu Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang berlangsung, pada Jumaat.

Loy Sian berkata demikian bagi menjawab pertanyaan dibangkitkan oleh Juwariya Zulkifli (PKR-Bukit Melawati)berhubung usaha dilakukan kerajaan negeri bagi membantu sektor pelancongan untuk bangkit semula selepas ini.

Dalam pada itu, Loy Sian berkata, kerajaan negeri juga sedang meneliti permohonan daripada beberapa pengusaha yang berhasrat menjadikan hotel mereka sebagai pusat kuarantin bagi individu positif Covid-19 kategori satu dan dua.

“Sedang teliti perkara itu dan perbincangan juga akan diadakan bersama Pejabat Kesihatan Daerah serta PBT terlibat,” katanya.

Artikel Berkaitan: