X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

80 bunuh diri, lebih 9,000 sakit mental di Perak

Wan Norashikin ketika menjawab soalan Mohd Azhar ketika sesi soalan lisan pada Sidang DUN Perak, pada Jumaat.
A
A

IPOH - Seramai 80 individu membunuh diri di Perak sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula Mac 2020 hingga Julai 2021.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, berdasarkan rekod pihak polis, punca kematian bunuh diri paling tinggi adalah disebabkan tekanan jiwa iaitu serami 33 orang.

Menurutnya, 24 orang yang membunuh diri tidak diketahui punca, 13 orang pula disebabkan masalah kewangan, penyakit (4 orang), masalah dadah (3 orang) dan sakit mental (3 orang).

"Jantina lelaki merupakan yang tertinggi iaitu seramai 66 orang manakala perempuan seramai 14 orang.

"Mengikut statistik Jabatan Kesihatan Perak, bilangan pesakit mental yang didaftar dan mendapat rawatan di klinik kesihatan kerajaan ialah sebanyak 9,772 kes didaftar melibatkan 5,213 kes sepanjang tahun 2020 dan 4,559 kes lagi didaftar pada ini sehingga bulan Jun," katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Mohd Azhar Jamaluddin (BN-Changkat Jong) dalam Sidang DUN Perak pada Jumaat.

Sementara itu, beliau berkata, langkah pencegahan yang diambil oleh kerajaan negeri melibatkan kerjasama bukan sahaja dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), namun melibatkan juga jabatan yang lain seperti Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Wan Norashikin berkata, bagi menangani isu kesihatan mental dalam situasi pandemik Covid-19, JKN Perak melaksanakan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Sosial di peringkat negeri dan daerah termasuk di hospital dan klinik-klinik kesihatan untuk membantu menstabilkan emosi individu yang terkesan.

Menurutnya, Perkhidmatan Rawatan Susulan Penyakit Mental turut ditawarkan di klinik kesihatan yang meliputi aktiviti promosi dan pengesanan awal melalui saringan untuk mengesan awal tahap stres, keresahan dan kemurungan serta individu yang berisiko mengalami masalah kesihatan mental serta pelaksanaan intervensi.

Menurutnya, perkhidmatan ini dilaksanakan di 76 buah klinik kesihatan dan 15 buah hospital di negeri Perak

Katanya, selain Talian Kasih 15999 yang diwujudkan bagi menangani isu gangguan mental dan isu lain, JPW bersama kerajaan negeri menubuhkan Skuad Waja (Wanita Anti Jenayah) Perak yang bertujuan memperkasakan komuniti melalui bimbingan psikososial dan aktiviti dalam komuniti.

"Ini bagi meningkatkan kesedaran sikap ambil peduli kepada masyarakat sekeliling khususnya jiran tetangga bagi membantu mangsa yang berdepan dengan masalah seperti gangguan mental dan lain-lain.

"Selain itu, Skuad Waja juga boleh membantu mangsa untuk merujuk kes kepada pihak yang berwajib bagi mendapatkan pertolongan professional," katanya.

Menurutnya, sehingga 15 Ogos 2021, seramai 270 sukarelawan telah dilantik sebagai Skuad Waja Perak yang digerakkan di semua 24 Parlimen dalam negeri Perak dengan berteraskan semangat kesukarelawan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!