Dua beradik yatim piatu jadi anak angkat Perkeso

Zainol (kiri) menyerahkan sumbangan kepada waris di PPR Kota Damansara pada Khamis.
Zainol (kiri) menyerahkan sumbangan kepada waris di PPR Kota Damansara pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor mengambil dua daripada 10 beradik yatim piatu sebagai anak angkat selepas ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19.

Pengarahnya, Zainol Abu berkata, dua beradik itu masing-masing berusia 14 dan 15 tahun menjadi anak angkat Perkeso bagi memastikan pendidikan dan kebajikan mereka terjaga.

Menurut beliau, selain itu, waris keluarga tersebut menerima faedah pengurusan mayat sebanyak RM4,000 dan kelayakan penerimaan pencen penakat berjumlah RM761.84.

"Waris menerima bantuan dan faedah daripada Perkeso kerana ibu bapa mereka merupakan pencarum Perkeso semasa di alam pekerjaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Zainol menyerahkan bantuan itu di kediaman 10 beradik berkenaan di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara pada Khamis.

Zainol berkata, pada masa ini, kakak kandung waris bertanggungjawab sepenuhnya sebagai ketua keluarga dengan menjaga adik-adiknya yang masih kecil dan bersekolah.

"Kakak kepada 10 beradik ini menzahirkan rasa syukur kerana tidak menyangka keluarga beliau layak menerima bantuan dan faedah daripada Perkeso," katanya.

Tambah beliau, Skuad Prihatin Perkeso Selangor turut berkongsi rasa sedih dialami keluarga itu.

Artikel Berkaitan:

"Oleh demikian, kami meminta kepada semua pekerja di negara ini mencarum dengan Perkeso supaya nasib anda dan keluarga terbela," katanya.

Sinar Harian pada 13 Ogos lalu melaporkan,10 beradik yang tinggal di PPR Kota Damansara di sini menjadi yatim piatu dalam sekelip mata apabila ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang menziarahi keluarga itu memaklumkan, adik-beradik itu pada mulanya kehilangan bapa disusuli ibu mereka empat hari kemudian.

Mana-mana pihak yang ingin menghulurkan sumbangan kepada keluarga ini boleh menyalurkan terus ke akaun CIMB Bank (7602427875) atas nama Nik Nuur Adieysofia Shahfieka Putri Jumi’ie.