X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Sidang DUN Perak: Peruntukan kebajikan awam, kesihatan tertinggi

Saarani
A
A

IPOH - Kerajaan Perak membelanjakan RM40 juta bagi tujuan kebajikan awam dan keperluan kesihatan untuk membantu meringankan beban rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada peruntukan dua Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) yang diumumkan sebelum ini dengan nilai keseluruhan lebih RM200 juta.

Menurutnya, lebih 30 inisiatif dilaksanakan bagi sektor kebajikan dan kesihatan melibatkan bantuan kotak makanan, pengecualian sewa rumah serta penubuhan Pusat Penempatan Gelandangan.

"Dana ini juga disalurkan untuk membantu petugas barisan hadapan melaksanakan program saringan dan sanitasi Covid-19 selain dibelanjakan bagi penyediaan kelengkapan, peralatan perubatan tambahan, pemberian bantuan one-off dan makanan.

"Kerajaan juga telah menyediakan dana kepada semua 59 Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi tujuan pengurusan Covid-19 di kawasan masing-masing. Setiap pusat khidmat ADUN menerima RM40,000 dan tambahan RM20,000 lagi sekiranya kawasan mereka terlibat dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)," katanya ketika menjawab soalan Maslin Sham Razman (BN-Bukit Chandan) ketika sesi soalan lisan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini pada Jumaat.

Saarani berkata, selain itu, kerajaan negeri menyediakan peruntukan kepada beberapa sektor lain antaranya RM14.8 juta kepada golongan penjaja, peniaga kecil dan usahawan merangkumi bantuan khas one-off kepada 41,750 penjaja serta peniaga kecil yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta beberapa inisiatif lain.

Menurutnya, bagi sektor pendidikan pula, sejumlah RM8.7 juta disalurkan kepada mahasiswa menerusi bantuan sara diri, pelaksanaan program Tuisyen Cikgu Saarani dan sebagainya.

Beliau berkata, sebanyak RM2.8 juta pula diperuntukkan kepada sektor pelancongan merangkumi 16 inisiatif seperti bantuan one-off kepada penggiat industri pelancongan selain pemberian pengecualian bayaran pembaharuan lesen hotel yang berdaftar PBT, pemberian baucar pelancongan serta pemberian vaksin kepada petugas sektor pelancongan.

"Sektor pertanian turut menerima suntikan dana sebanyak RM1.3 juta bagi penyediaan bantuan kepada petani, penternak dan nelayan melalui pemberian pelbagai input ladang serta ternakan.

"Di samping itu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) juga menyediakan dana khas bantuan berjumlah RM14.6 juta untuk menangani impak pandemik Covid-19," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut mendapat kerjasama daripada agensi dan badan berkanun negeri bagi menjayakan beberapa PRE melalui sumbangan berbentuk kewangan dan bukan kewangan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!