Southgate lega status Kane bersama Tottenham selesai

Harry Kane FOTO: AFP
Harry Kane FOTO: AFP
A
A
A

PENGENDALI England, Gareth Southgate percaya kapten Three Lions, Harry Kane kini boleh memberikan sepenuh tumpuan kepada Kelayakan Piala Dunia bulan depan selepas mengakhiri teka-teki masa depannya bersama Tottenham Hotspur.

Malah menurut Southgate, sekiranya masalah itu berterusan ia tidak hanya menjejaskan prestasi Kane tetapi juga skuad The Three Lions.

"Tidak dapat tidak kita akan mempunyai beberapa pemain yang kekurangan minit perlawanan kompetitif kerana pemain kita berakhir lebih lambat daripada lain.

"Dan Kane adalah antara yang berada dalam situasi itu, apatah lagi dia baru memulakan penampilan pada hujung minggu lalu bersama Tottenham.

"Jadi apabila isu ini selesai setidak-tidaknya Kane sudah boleh memberi tumpuan tidak hanya kepada tugasannya bersama Tottenham tapi juga skuad England," katanya.

Kane sebelum ini mengakhiri desas-desus perpindahannya ke Manchester City apabila menyatakan akan memberi tumpuan 100 peratus kepada Tottenham dalam mengharungi saingan musim baharu.

Tonggak England itu sebelum ini hanya beraksi 20 minit dalam perlawanan kompetitif sejak England tewas kepada Itali dalam aksi akhir Euro 2020 pada Julai lalu.

Kane hanya diturunkan sebagai pemain simpanan pada minit ke-72 ketika Tottenham melakar kemenangan 1-0 ke atas Wolverhampton Wanderers.

Artikel Berkaitan:

Pemain itu sebelum ini terlepas aksi pembukaan menentang Manchester City di Etihad selepas menjalani kuarantin setelah pulang bercuti dari Bahamas dan Florida.

Untuk rekod, England kini mengetuai Kumpulan I Kelayakan Piala Dunia apabila mengutip sembilan mata setelah mengharungi sembilan perlawanan, akan berdepan Hungary, Andorra dan Poland di antara 2 hingga 8 September depan.