Barisan kabinet baharu diumum hari ini

Seri Paduka Baginda berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu dari Ismail Sabri di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang pada Khamis. - Foto Istana Negara
Seri Paduka Baginda berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu dari Ismail Sabri di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang pada Khamis. - Foto Istana Negara
A
A
A

PUTRAJAYA - Teka-teki barisan kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal terjawab pada Jumaat.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat pada jam 11 pagi dan disiarkan secara langsung menerusi TV1 RTM.

Menurut Pejabat Perdana Menteri lagi, majlis angkat sumpah menteri dan timbalan menteri pula dijadualkan berlangsung pada Isnin depan, jam 2.30 petang di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Namun yang menjadi tanda tanya ramai sekarang ialah, apakah akan wujud kejutan dalam pengumuman yang bakal dibuat nanti khususnya beberapa jawatan penting termasuklah kerusi Timbalan Perdana Menteri yang sebelum ini disandang oleh Ismail Sabri sendiri.

Fokus besar sudah tentulah tertumpu kepada siapa yang bakal mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri. Yang pasti ialah, jika Ismail Sabri membuat keputusan untuk melantik TPM, ia akan datang daripada wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Antara yang disebut-sebut bakal mengisi jawatan itu ialah Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta dua ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Bagaimanapun, Sarawak turut menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri dan antara yang disebut-sebut ialah bekas Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof atau Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Seandainya jawatan itu tidak diisi yang mana ia tidak mustahil boleh berlaku sepertimana pernah dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu, siapakah yang bakal mengisi jawatan menteri kanan seperti Menteri Kewangan, Menteri Pertahanan, Menteri Kerja Raya, Menteri Pendidikan dan kementerian penting lain seperti Menteri Dalam Negeri.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang sama, siapa pula yang akan dikekalkan, siapa yang bakal digugurkan dan siapa muka baharu yang akan diperkenalkan lebih-lebih lagi selepas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said melepaskan jawatannya.

Pada masa yang sama, mungkinkah akan ada yang dilantik sebagai senator bagi membolehkan mereka menganggotai kabinet khususnya pemimpin seperti Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dan berapa ramaikah daripada kalangan wakil rakyat UMNO yang bakal dilantik memandangkan Ismail Sabri sekarang ialah Perdana Menteri mewakili UMNO.

Sementara itu, orang ramai juga ternanti-nanti siapakah yang akan mewakili Pas dalam kabinet baru itu nanti. Apakah Datuk Seri Takiyuddin Hassan akan mengekalkan portfolionya atau berpindah ke kementerian lain selepas kontroversi di Parlimen baru-baru ini?

Ismail Sabri pada Khamis menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang bagi mempersembahkan senarai kabinetnya untuk diperkenankan.

Memetik kenyataan daripada Facebook Istana Negara, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima persembahan senarai kabinet baharu daripada Perdana Menteri.

Sesi menghadap pada Khamis adalah yang kali kedua bagi Ismail Sabri selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia beliau sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada 21 Ogos lalu.

Ahli Parlimen Bera itu dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas Muhyiddin melepaskan jawatan kerana hilang majoriti sokongan ahli Parlimen.