Misi lebih besar TMJ

TUNKU ISMAIL
TUNKU ISMAIL
A
A
A

PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sudah tentu mempunyai perancangan lebih besar selepas memberikan bayangan kemungkinan meninggalkan skuad Harimau Selatan.

Legenda bola sepak kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, Tunku Ismail berkemungkinan mahu mencari cabaran baharu dan misi lebih besar selepas memacu JDT ke puncak kejayaan sejak beberapa musim lalu.

“Kita semua tahu komitmen dan dedikasi Tunku dalam sukan bola sepak. Tunku tidak akan tinggalkan JDT dan bola sepak begitu sahaja.

“Semua orang tahu bagaimana Tunku membina JDT sehingga pasukan itu berada pada tahap sebegini, dikenali selain mempunyai fasiliti yang antara terbaik di Asia Tenggara.

“Saya tidak tahu apa perancangan Tunku, tapi saya percaya Tunku mempunyai misi yang lebih besar selepas berjaya membawa JDT ke satu tahap yang cukup membanggakan.

“Lagipun, kalau setakat Liga Malaysia ini, JDT dah capai apa yang mereka mahukan. JDT juga akan menang liga buat kali kelapan berturut-turut dan ia sejarah di negara ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Pada Isnin, Tunku Ismail seolah-olah memberi bayangan untuk meninggalkan JDT menerusi satu komen yang ditinggalkan di laman sosial Instagram kelab berkenaan.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam kenyataan ringkasnya itu menyatakan kejuaraan Liga Super kelapan yang bakal diraih DT musim ini adalah hadiah terakhirnya buat skuad Harimau Selatan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Jamal Nasir menjangkakan Tunku Ismail akan membeli kelab di luar negara yang mana ia juga akan memanfaatkan JDT pada masa akan datang.

“Kita tak tahu apa perancangan Tunku. Tetapi, saya percaya mungkin Tunku akan beli satu kelab di luar Malaysia yang mana ia juga boleh memanfaatkan JDT dalam pelbagai cara, antaranya boleh menyerap pemain ke kelab tersebut.

“Langkah Tunku itu juga saya percaya akan memberikan impak lebih besar kepada industri bola sepak negara dan saya doakan apa yang bakal direalisasikan oleh Tunku nanti akan berjaya,” jelasnya.