Tabik kayuhan, baiki catatan masa

Nur Azlia memulakan saingan kempen skuad negara apabila merekodkan 1 minit 15.005s dalam acara trek 1,000m ujian masa wanita B (kecacatan penglihatan). Gambar kecil: SALLEHUDIN. FOTO: Majlis Sukan Negara Malaysia
Nur Azlia memulakan saingan kempen skuad negara apabila merekodkan 1 minit 15.005s dalam acara trek 1,000m ujian masa wanita B (kecacatan penglihatan). Gambar kecil: SALLEHUDIN. FOTO: Majlis Sukan Negara Malaysia
A
A
A

JURULATIH berbasikal para negara, Sallehudin Mohd Noh mengakui berpuas hati komitmen dan disiplin tinggi dipamerkan anak buahnya apabila memperbaiki catatan masa peribadi masing-masing pada hari pertama saingan acara berbasikal Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Velodrom Izu pada Khamis.

Malah menurut Sallehudin, anak buahnya berjaya memberikan saingan sengit kepada jaguh berbasikal para dunia dalam penampilan pertama masing-masing pada temasya sukan terbesar dunia berkenaan.

Bagi saingan peringkat seterusnya, Salehuddin menuntut anak buahnya untuk tampil lebih garang dalam acara pecut campuran berpasukan pada Sabtu ini.

“Alhamdulillah, pencapaian anak buah saya pada hari ini menyaksikan mereka telah memberikan segala yang terbaik sekaligus memperbaiki catatan peribadi masing-masing dengan baik.

“Seperti mana yang semua maklum sebelum ini terdapat kekangan untuk atlet para berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam menjalani latihan di tanah air biarpun latihan menggunakan kaedah gelembung sukan.

“Dan hari ini kesemua mereka telah menterjemahkan segala-galanya di trek Velodrom Izu dengan mempamerkan semangat juang tinggi untuk bersaing dan membuat catatan terbaik peribadi,” katanya pada Khamis.

Sallehudin Mohd Noh
Sallehudin Mohd Noh

Jelas Salehuddin lagi, bermula dengan pelumba Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais bersama jurumudinya Nurul Suhada Zainal, yang memulakan saingan kempen skuad negara dengan merekodkan 1 minit 15.005 saat (s) dalam acara trek 1,000 meter (m) ujian masa wanita B (kecacatan penglihatan).

Artikel Berkaitan:

Menurut Salehuddin, catatan dilakar Nur Azlia Syafinaz sekaligus mengatasi catatan 1 minit 16.839s di Sukan Para Asia 2018 dan 1 minit 17. 257s dalam kejohanan ACC Jincheon 2019.

“Begitu juga dengan Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin dalam saingan kelayakan acara 3,000m kejar mengejar lelaki C1 (kecacatan fizikal) apabila merekodkan catatan masa 3:58.413s untuk catatan masa terbaik peribadinya.

“Mohamad Yusof Hafizi berjaya memperbaharui catatan masa 4 minit 02.959s dalam kejohanan di Milton pada 2020 dan 4 minit 04.472s di ACC Jincheon 2019.

“Begitu juga dengan penampilan dua lagi pelumba kebangsaan, Zuhairie Ahmad Tarmizi dan Muhammad Hafiz Jamali, dalam 1,000m ujian masa lelaki C4 (kecacatan fizikal).

“Zuhairie berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 pelumba terbaik daripada 21 pelumba dengan catatan 1 minit 06.472s mengatasi catatan di Milton 2020 iaitu 1 minit 07. 863s dan 1 minit 08.934s semasa di ACC Jincheon 2019, cumanya Muhammad Hafiz kurang bernasib baik tidak dapat memperbaiki catatan peribadi apabila sekadar mencatat masa 1 minit 11.288s,” katanya.