TDM catat hasil RM104.2 juta bagi suku keempat 2018

Raja Datuk Idris (duduk, tengah) bersama ahli lembaga pengarah TDM.
A
A

KUALA TERENGGANU- Anak syarikat milik kerajaan negeri, TDM Berhad (TDM) mencatatkan hasil pendapatan berjumlah RM104.2 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2018.

Ia lebih rendah sebanyak 14 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2017, iaitu RM121 juta.

Pengerusi TDM Berhad, Raja Datuk Idris Raja Kamarudin berkata, ia disebabkan oleh hasil yang lebih rendah disumbangkan daripada pengeluaran tanaman bagi menghasilkan harga jual sawit di kumpulan bahagian perladangan, namun diimbangi dengan pendapatan bahagian penjagaan kesihatan yang lebih tinggi.

Dalam tempoh itu katanya, terdapat banyak perkara ‘one-off items’ berkaitan ladang Kalimantan yang telah menyumbang kepada kerugian sebelum cukai sebanyak RM56.7 juta pada suku tersebut.

“Dengan menghapuskan banyak perkara ‘one-off items’ dan berdasarkan prestasi operasi, Kumpulan mencatatkan pelarasan EBITDA sebanyak RM17.8 juta untuk suku tersebut.

“Kami amat gembira dengan prestasi perniagaan di bahagian penjagaan kesihatan. Pembukaan Hospital Pakar Kuala Terengganu yang baru pada suku pertama 2018, bersama-sama dengan peningkatan keseluruhan dalam aktiviti hospital secara langsung telah membantu pertumbuhan yang memberangsangkan.

“Kami optimis bahawa pertumbuhan perniagaan penjagaan kesihatan akan terus disokong oleh pelan pengembangan kapasiti kami dan pengenalan modaliti perkhidmatan baru,” katanya.

Perniagaan bahagian penjagaan kesihatan TDM terus menunjukkan prestasi yang kukuh dengan PBT sebanyak RM3.3 juta pada suku ini, berbanding kerugian sebanyak RM9.2 juta pada suku yang sama sebelumnya.

Ia sekali gus disumbangkan oleh jumlah pesakit dan pesakit luar yang lebih tinggi sebanyak 16 peratus dan 9 peratus.

Secara keseluruhannya sepanjang tahun lalu, TDM mencatatkan hasil sebanyak RM404.9 juta, lebih rendah 10 peratus dari tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh harga minyak sawit mentah (CPO) yang lemah dan pengeluaran tanaman yang lebih rendah di bahagian perladangan.

Bagaimanapun, bahagian perniagaan penjagaan kesihatan telah mencatatkan peningkatan pendapatan yang baik sebanyak 14 peratus daripada jumlah pesakit dalam dan pesakit luar yang tinggi sebanyak 9 peratus dan 4 peratus.