Penduduk Sibu diminta berhati-hati susulan kemunculan Kluster Semenyan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SIBU - Sibu mencatatkan 161 kes positif baharu Covid-19 pada Khamis dengan 40 peratus daripadanya membabitkan pekerja asing di dua ladang kelapa sawit dekat sini.

Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (SDDMC), Dr Annuar Rapaee berkata, daripada jumlah itu, 107 kes dikesan melalui ujian saringan dalam komuniti diikuti pengesanan kes aktif (21), pusat kuarantin (16), saringan bergejala (13), praperjalanan (dua) serta masing-masing satu kes bagi prakemasukan ke hospital dan prapembedahan.

“Kami mempunyai kluster baharu yang dinamakan Kluster Semenyan selepas 60 kes dikesan di sebuah ladang kelapa sawit di Sengan dan enam kes lagi di sebuah ladang lain di Menyan (kedua-duanya terletak bersebelahan).

“Sebanyak 64 kes membabitkan pekerja asing manakala dua lagi ialah pekerja tempatan,” katanya ketika penstriman langsung kemas kini Covid-19 di Sibu yang bersiaran melalui laman Facebook beliau pada Khamis.

Kedua-dua ladang terletak kira-kira 37 kilometer dari Sibu dan 13 kilometer dari jalan utama.

Annuar yang juga Menteri Muda Kesihatan Awam dan Perumahan Sarawak berkata, beliau yakin pekerja asing terbabit akan ke Sibu Jaya untuk mendapatkan barangan keperluan mereka dan menasihati penduduk setempat agar lebih berwaspada apabila berada di tempat awam di bandar itu.

“Patuhi SOP ketika anda di tempat awam. Pakai pelitup muka berganda dan pelindung muka kerana kita tidak mahu berlaku lagi peningkatan mendadak kes-kes positif,” katanya.

Mengulas empat kes membabitkan varian Delta yang dikesan di Zon Permai dua minggu lepas, beliau berkata, sampel telah dihantar secara rawak untuk ujian makmal.

Artikel Berkaitan:

“Hanya kerana kami menggunakan sampel yang diambil dari Permai tidak bermaksud varian Delta tidak merebak ke tempat lain di Sibu dan saya percaya peningkatan jumlah kes ketika ini adalah disebabkan oleh varian itu,” katanya sambil menambah bahawa sampel akan dihantar kepada Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) untuk analisis bagi mengesan perkembangannya.

Penjujukan genom yang memakan masa perlu dilakukan bagi mengesan varian itu dan justeru beliau berkata, orang ramai harus menganggap peningkatan mendadak kes Covid-19 di Sibu ketika ini adalah disebabkan varian tersebut dan perlu mematuhi SOP dengan ketat ketika mereka terpaksa keluar.

“Ini bukan sahaja di Permai sebaliknya seluruh Sibu perlu berada dalam keadaan berwaspada ketika ini,” katanya. - Bernama