MAB sasar penerbangan domestik pulih menjelang 2022

Tangkap layar Izham Ismail (kiri) pada sidang media secara maya oleh MAB dan CAAM pada Khamis.
Tangkap layar Izham Ismail (kiri) pada sidang media secara maya oleh MAB dan CAAM pada Khamis.
A
A
A

MALAYSIA Airlines Bhd (MAB) menyasarkan industri penerbangan domestik akan kembali ke tahap yang lebih baik menjelang tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAB, Izham Ismail berkata, tidak dapat dinafikan pandemik Covid-19 telah memberi implikasi buruk kepada industri penerbangan dan situasi tersebut bakal mengambil masa yang lama untuk dipulihkan sepenuhnya.

“Kami akan bermula pada suku keempat tahun ini dan harapnya industri penerbangan tempatan akan kembali ke tahap pra-pandemik jika situasi dalam negara bertambah baik.

“Kami menganggarkan pertengahan tahun 2023 atau awal 2024 untuk pemulihan sepenuhnya bagi pasaran antarabangsa," katanya dalam sidang media secara maya oleh MAB dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MAB, Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, syarikat penerbangan tersebut akan melaksanakan Rancangan Perniagaan Jangka Panjang 2.0 dengan mempertimbangkan beberapa rangka pemulihan.

“Penerbangan nasional kini menerima kira-kira 1,000 penumpang sehari berbanding 38,000 penumpang sehari pada tahun 2019, manakala sebanyak 1,700 bagasi dikendalikan setiap hari berbanding 36,000 sebelumnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menambah, baru-baru ini MAB melancarkan 'Fuel Efficiency System' (FES) 2.0 dengan menggunakan perisian penerbangan GE-Flightpulse yang membolehkan pemilihan laluan kapal terbang terbaik bagi mengurangkan penggunaan bahan bakar.

Jelasnya, MAB telah memulakan program FES 1.0 sejak 2012 dan berjaya mengurangkan penggunaan bahan bakar sebagai langkah mencapai matlamat pembangunan yang mampan

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, katanya, industri penerbangan di Malaysia berjaya menyumbang lebih tiga peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2018.

“Industri tersebut penting bagi negara berikutan ia dapat membantu pertumbuhan perdagangan dan pelancongan, berfungsi sebagai identiti nasional serta menyediakan ruang pekerjaan kepada rakyat.

“Industri ini turut menyumbang kepada hampir setengah juta pekerjaan kepada rakyat Malaysia,” jelasnya.