'Serik, tak nak ingat lagi'

Hasni (dua, kanan) berbual dengan Muhammad Arif (empat, kiri) dan Muhammad Fitri (dua,kiri).
Hasni (dua, kanan) berbual dengan Muhammad Arif (empat, kiri) dan Muhammad Fitri (dua,kiri).
A
A
A

JOHOR BAHRU – “Kalau boleh saya sudah tidak mahu mengingati lagi kejadian berkenaan. Kini, saya tidak aktif lagi bermain basikal. Basikal pun sudah tiada,” ujar Muhammad Arif Salman.

Muhammad Arif, 17, antara lapan mangsa yang cedera dalam insiden membabitkan basikal lajak yang dirempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, pada 18 Februari 2017 yang turut menyebabkan lapan remaja maut.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permas Jaya 3 itu kini mahu menumpukan perhatian pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan didudukinya penghujung tahun ini selain dalam masa sama bekerja sambilan di sebuah restoran makanan segera.

"Akibat kejadian itu, saya menerima jahitan di mata, selain cedera di kepala, mata, bahu, tangan, lutut serta kaki kiri dan terpaksa dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), selama lima hari," katanya.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu antara 14 penerima cek pampasan menerusi bantuan yang dihulurkan UMNO Johor, semalam.

Penyampaian cek pampasan berkenaan disempurnakan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad.

Seorang lagi mangsa yang cedera dalam kejadian itu, Muhammad Fitri Muhammad Fatoni, 19, berkata, buat masa ini dia membantu di gerai makan ayahnya di Larkin dan akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi.

“Kejadian tersebut menyebabkan tisu kaki kiri saya koyak dan sakit di bahagian tulang punggung serta lebih seminggu dirawat di HSA. Cuma, kadang-kala saya tetap terasa sakit.

Artikel Berkaitan:

“Saya semakin boleh menerima kejadian itu dan tidaklah sampai teringat-ingat. Minat terhadap basikal masih ada, kadang-kala hanya main basikal adik di depan rumah sahaja,” ujar anak kedua daripada empat beradik yang tinggal di Skudai, di sini.

Sementara itu, Zulkefli Sarkam, 45, dan Fatimah Nasir, 45, berkata, walaupun sudah dua tahun kehilangan anaknya, Muhammad Azrie Danish, 14, namun bagi mereka kejadian itu seakan masih baharu lagi berlaku.

“Apatah lagi kejadian itu berlaku selepas Perayaan Chingay dan perayaan itu baharu sahaja diraikan Isnin lalu menyebabkan kami terus teringat pada arwah. Adik-adiknya juga selalu bertanya perihal arwah,” katanya yang memberitahu Allahyarham merupakan anak kedua daripada lima beradik.

INFO - Dalam kejadian pada 18 Februari 2017 itu, seramai lapan remaja maut manakala lapan yang lain cedera