Covid-19 dijangka meningkat jika vaksinasi masih rendah

Trend peningkatan kes positif Covid-19 di Sabah dijangka akan terus meningkat sekiranya pemberian vaksinasi di negeri ini masih rendah selain kurangnya kawalan penjarakan sosial. Gambar hiasan
Trend peningkatan kes positif Covid-19 di Sabah dijangka akan terus meningkat sekiranya pemberian vaksinasi di negeri ini masih rendah selain kurangnya kawalan penjarakan sosial. Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Trend peningkatan kes positif Covid-19 di Sabah dijangka akan terus meningkat sekiranya pemberian vaksinasi di negeri ini masih rendah selain kurangnya kawalan penjarakan sosial.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Madya Dr Richard Avoi berkata, berdasarkan trend kes harian Covid-19 dari 1 hingga 18 Jun lepas, diramalkan kes di Sabah akan meningkat 2,000 hingga 2,500 kes dalam tempoh dua atau tiga minggu akan datang.

Justeru, beliau menegaskan pada masa kini keutamaan perlu diberikan terhadap usaha untuk mengurangkan jumlah penduduk Sabah terdedah kepada jangkitan Covid-19 melalui program vaksinasi yang sedang dijalankan di negeri ini.

"Kurangkan penduduk terdedah (Covid-19) melalui vaksinasi penting kerana jika populasi terdedah ditambah hanya sebanyak 30 peratus sahaja, jumlah kes harian boleh meningkat menjadi 3,500 hingga 3,700 kes dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Kes baharu Covid-19 di seluruh negara hari ini merekodkan sebanyak 24,599, angka harian tertinggi sejak pandemik melanda tahun lepas dengan Sabah mencatatkan 3,487 kes.

Bagaimanapun, Richard berkata, usaha meningkatkan jumlah penduduk divaksin lengkap di negeri ini memerlukan sedikit masa, sehubungan itu persediaan perlu dilakukan sejak dari awal bagi berdepan kemungkinan peningkatan kes yang tinggi.

Perkara sama turut diakui oleh Dekan FPSK UMS Profesor Dr Mohammad Saffree Jeffree bahawa vaksinasi adalah kaedah paling berkesan bagi membendung trend peningkatan kes positif Covid-19 harian di Sabah yang telah melebihi 3,000 kes sehari.

Beliau berkata bagi melancarkan usaha itu, pihaknya telah menggerakkan kakitangan untuk melaksanakan program 'outreach' vaksinasi mobile di kawasan kampung serta kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata hanya dengan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) secara menyeluruh mampu menangani peningkatan kes yang semakin meruncing di Sabah.

Beliau berkata, bagi menjayakan PICK, Pusat Pemberian Vaksinasi Institusi Pengajian Tinggi (PPV IPT) UMS telah memberikan suntikan vaksinasi sebanyak 83,059 dos vaksin kepada orang awam sekitar Kota Kinabalu sejak dibuka pada 14 Jun lepas.

"Kita tidak mahu membiarkan ada masyarakat yang belum divaksin kerana kita khuatir mereka akan membawa jangkitan dalam komuniti, dan ini yang menjadi kerisauan kita,” katanya. - Bernama