Peristiwa Lahad Datu jadi iktibar

Tiga anak Zulkifli menerima sumbangan yang disampaikan Abdul Razak Mohd Yusof (belakang).
Tiga anak Zulkifli menerima sumbangan yang disampaikan Abdul Razak Mohd Yusof (belakang).
A
A
A

Tarikh 1 Mac 2013 menjadi detik hitam dalam sejarah negara apabila lapan wira tanah air gugur mempertahankan kedaulatan negara di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah.

Kejadian itu menyaksikan dua anggota polis 69 Komando, Asisten Superintendan Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin Daud terbunuh manakala, tiga yang lain cedera ditembak.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, peristiwa itu dapat membuka mata terutama generasi muda bahawa keamanan yang diperolehi negara perlu dibayar dengan pengorbanan.

"Tragedi di Lahad Datu itu menunjukkan penglibatan polis, tentera dan sebagainya telah korbankan jiwa mereka untuk pertahan negara yang kita cinta ini," katanya.

Beliau ditemui pada Majlis 1313 Sumbangsih Warisan sempena memperingati peristiwa Lahad Datu (Op Sulu/Daulat) 2013) di Dewan 1 Bridged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, semalam.

Hadir sama, bekas Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun; Komander 69 Komando, Senior Asisten Komisioner Abdul Razak Mohd Yusof dan Pengarah Kanan Institut Integriti Malaysia, Dr Mohd Nizam Mohd Ali.

Beliau turut menasihatkan pasukan elit itu untuk lebih bersedia dalam menghadapi cabaran akan datang.

"Saya hendakkan 69 Komando meneruskan kegemilangan mereka. Gunakan pengalaman yang lalu untuk menambahbaik keupayaan kita untuk memberi perkhidmatan terbaik," katanya.

Ismail (tengah) turut memeluk veteran 69 Komando yang hadir pada Majlis 1313 Sumbangsih Warisan sempena memperingati peristiwa Lahad Datu (Op Sulu/Daulat) 2013).
Ismail (tengah) turut memeluk veteran 69 Komando yang hadir pada Majlis 1313 Sumbangsih Warisan sempena memperingati peristiwa Lahad Datu (Op Sulu/Daulat) 2013).

Ismail berkata, Op Daulat merupakan cabaran besar kepada pasukan tentera dan PDRM dalam mempertahankan kedaulatan negara.

"Pengalaman itu juga menunjukkan kemampuan agensi-agensi yang mempunyai kemahiran, kekuatan dan kebolehan untuk menggalas tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

"Kita bersedih dan berbangga mempunyai anggota yang mempunyai semangat juang yang tinggi. Semangat itulah memberi keyakinan kepada rakyat yang kita mempunyai pasukan yang bersedia untuk menghadapi apa jua situasi," katanya.

Pada majlis itu, Mohd Nizam turut menyerahkan batu peringatan Op Sulu/ Daulat dan penyampaian sumbangan kepada anak pegawai dan anggota terkorban.

Sementara itu, ibu mentua Zulkifli, Khalipah Mahamedisa, 61, berkata, dia akan jaga tiga anak arwah, Noor Aqmar Amirudin, 11, Noor Mohd Aqil, 7 dan Noor Aqib Shahid, 6, sebaik mungkin.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin saya tidak dapat jaga mereka sepertimana arwah jaga. Lebih-lebih Aqmar yang kadang kala merindui arwah. Saya akan peluk dia setiap kali dia teringat.

Bagi anak Sabaruddin, Haziq Wahiduzzaman, 25, dia rasa terharu dengan ingatan pasukan itu terhadap pengorbanan ayahnya dalam pertempuran itu.

Op Daulat merupakan cabaran besar kepada tentera dan PDRM dalam mempertahankan kedaulatan negara