Ramai nyata hasrat sertai Malaysia #QuranHour

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Program Malaysia #QuranHour yang bakal berlangsung pada 30 Ogos ini sempena sambutan Hari Kebangsaan 2021 memperlihatkan sambutan yang amat memberangsangkan apabila banyak pihak tampil menyatakan hasrat untuk turut serta sebelum jemputan dibuat.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Datin Paduka Mastura Muhamad berkata, beliau melihat perkembangan itu sebagai suatu perkara yang amat positif membuktikan wujudnya kesedaran yang tinggi dalam kalangan rakan sinergi dan klien PPAS.

MASTURA
MASTURA

Menurutnya, secara tidak langsung, ia menggambarkan program yang telah masuk tahun ketujuh itu memberi impak yang besar kepada masyarakat.

“Apa yang bagusnya, ada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sudah nyatakan sokongan untuk menyertai Malaysia #QuranHour walaupun kita belum sempat menghubungi mereka untuk membuat jemputan.

“Pada saya, ia adalah benda yang cukup baik dan maknanya kesedaran telah sampai.

“Mereka merasakan program ini dapat membantu kita menghadapi pandemik Covid-19 ketika ini dengan dapat memberikan ketenangan yang dicari,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

PPAS merupakan rakan sinergi bagi Malaysia #QuranHour yang memainkan peranan besar bagi menarik penglibatan masyarakat sejak awal program itu dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mastura berkata, di peringkat negeri Selangor, semua kakitangan perpustakaan telah menyatakan komitmen untuk turut menyertai program itu yang akan diadakan secara dalam talian.

“Bagi tahun ini, persediaan kita sama dengan persediaan pada tahun lalu di mana kita masih berdepan pandemik Covid-19. Saya dapati kesedaran orang ramai secara dalam talian ini lebih banyak.

“Kami juga sudah maklumkan kepada semua pihak perpustakaan negeri. Diharapkan dengan adanya penyertaan daripada perpustakaan-perpustakaan negeri dan kakitangan PPAS sendiri akan dapat memeriahkan lagi Malaysia #QuranHour kali ini,”katanya.

Malaysia #QuranHour di bawah naungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan kerjasama rakan sinergi termasuk TV AlHijrah, RTM, Bernama, Astro Oasis, Astro Awani, Utusan TV, Sinar TV dan Sinar Harian.

Selain itu, rakan sinergi yang lain ialah Nu Ideativ, IKIMfm, News Straits Times Press (NSTP), Zayan FM, Denaihati.com, Pusat Pelancongan Islam (ITC), Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam SeMalaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Rumah Ngaji dan Sahabah Al-Quran.