Worldwide Holdings, lima PBT bangunkan ISWMC

Majlis Menandatangani Perjanjian ISWMC disaksikan Amirudin (tengah) pada 19 Ogos lalu.
Majlis Menandatangani Perjanjian ISWMC disaksikan Amirudin (tengah) pada 19 Ogos lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) telah menandatangani perjanjian bersama lima pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melaksanakan pembangunan pusat pengurusan sisa pepejal bersepadu (ISWMC).

Lima PBT itu ialah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings Berhad, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, melalui perjanjian tersebut, Selangor bakal memiliki loji pengurusan sisa pepejal berteknologi hijau yang terbesar dan moden di Malaysia.

Menurutnya, perjanjian itu juga akan menyumbang kepada usaha memastikan tarikh mula operasi komersial (COD) yang ditetapkan Suruhanjaya Tenaga dapat dipenuhi iaitu bermula pertengahan tahun 2024.

Beliau berkata, Worldwide Holdings berbesar hati dengan kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan negeri untuk menerajui pembangunan ISWMC di Selangor.

"Kami berharap pembangunan projek ini dapat menyokong usaha merealisasikan aspirasi kerajaan negeri seperti agenda strategik Pemeliharaan Alam Sekitar dan Smart Selangor menjelang tahun 2025.

“Pelaksanaan teknologi Waste to Energy (WTE) ini juga selaras dengan matlamat kerajaan iaitu untuk mencapai

kapasiti penjanaan ‘renewable energy’ atau tenaga boleh baharu (TBB) sebanyak 20 peratus menjelang tahun 2025,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan secara maya di Pejabat Kerajaan Negeri Selangor serta di pejabat PBT masing-masing disaksikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Dalam pada itu Amirudin berkata, teknologi WTE yang dilengkapi teknologi hijau dan moden bertepatan dengan misi kerajaan negeri bagi mengurangkan impak negatif pencemaran dan kesan rumah hijau.

"Teknologi WTE ini juga turut menyokong agenda pembangunan nasional dan menyumbang kepada usaha merealisasikan aspirasi negara untuk mengurangkan pelepasan karbon (CO2) sebanyak 45 peratus pada tahun 2030.

“Selaras dengan status Selangor sebagai negeri maju, saya percaya kerjasama yang telah lama terjalin di antara Worldwide Holdings dengan PBT terlibat amat bermakna bagi menggerakkan projek WTE dan ISWMC ini bagi memastikan pelaksanaan sistem pengurusan sisa pepejal yang holistik di Selangor, " katanya.

Kemudahan ISWMC bakal dibina di pusat pelupusan sampah sedia ada Worldwide Holdings Berhad di Jeram dan loji WTE akan menjadi sebahagian daripada komponen ISWMC.

Selain WTE, ISWMC turut dilengkapi dengan kemudahan pemulihan bahan, kemudahan pemulihan bahan untuk sisa pembinaan, Anaerobic Digester, pusat penyelidikan dan pembangunan serta loji pengkomposan.