'Bila baca perjanjian, banyak untungkan pemaju'

Syed Salehuddin menunjukkan lokasi terlibat pembangunan semula Kampung Sungai Baru seluas 17 ekar.
Syed Salehuddin menunjukkan lokasi terlibat pembangunan semula Kampung Sungai Baru seluas 17 ekar.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perjanjian pembangunan semula Kampung Sungai Baru di Kampung Baru di sini yang didakwa samar dan berat sebelah antara punca 110 penduduk di kawasan itu menolak tawaran tersebut lima tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Komuniti Sungai Baru, Syed Salehuddin Syed Abdullah berkata, baru-baru ini mereka menerima notis siasatan di bawah Borang F, Akta Pengambilan Tanah 1960 dan diminta hadir secara giliran pada 23 hingga 26 Ogos untuk diambil keterangan penilaian oleh Pejabat Tanah dan Galian.

Syed Salehuddin
Syed Salehuddin

Menurutnya, dijangkakan keputusan jumlah pampasan ke atas mereka yang belum menurunkan tandatangan persetujuan pembangunan itu akan diketahui Oktober ini.

"Kami harap keputusannya nanti adil dengan mengambil kira kawasan ini terletak di bawah Jalan Yap Kwan Seng dan bukannya di bawah Kampung Baru.

"Kadar pampasan juga mestilah mengambil kira status tanah untuk tujuan komesial serta kepadatan penduduknya yang tinggi. Kawasan ini boleh dibangunkan kediamanan sehingga 50 tingkat," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Kampung Sungai Baru melibatkan penduduk yang menetap di dua jenis kediaman, iaitu Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan rumah di tanah persendirian.

Pembangunan semula yang dirancang itu akan melibatkan 328 unit rumah di mana 264 daripadanya adalah rumah flat dan selebihnya merupakan unit teres yang dianggarkan berkeluasan 6.8 hektar.

Artikel Berkaitan:

70 peratus pemilik di kawasan terbabit didakwa bersetuju dengan pembangunan semula kawasan itu dan telah menurunkan tandatangan.

Mengikut perjanjian asal, penduduk rumah flat ditawarkan seunit kondominium manakala pemilik rumah teres ditawarkan tiga unit kondominium.

Mengulas lanjut, Syed Salehuddin berkata, penduduk yang menolak tawaran itu mahukan perjanjian yang ditandatangani itu adil dan telus dan mereka bukannya anti kepada pembangunan.

"Malah ada beberapa perkara yang dijanji secara lisan tidak ada dalam perjanjian menyebabkan kami sebagai penduduk was-was serta bimbang untuk menurunkan tandatatangan persetujuan.

"Bagaimanapun, sebarang keputusan terkini adalah tertakluk kepada akta dan cara pengambilan tanah. Saya harap kami tidak ditindas dengan meletakkan harga yang rendah daripada harga sebenar dan berharap pejabat tanah dapat menjalankan amanah dengan adil serta saksama, " katanya.

Kawasan terlibat dengan projek pembangunan semula Sungai Baru, Kampung Baru.
Kawasan terlibat dengan projek pembangunan semula Sungai Baru, Kampung Baru.

Seorang penduduk, Ibrahim Alias, 66 mengakui tawaran diberikan pemaju sebelum ini lumayan namun dia terpaksa menolak kerana dianggap membebankan kepadanya.

"Bila baca isi perjanjian, saya lihat ia banyak menguntungkan pemaju sahaja dan akan mendatangkan risiko kepada kami jika pemaju gagal.

" Apa yang dijanjikan lima tahun lalu pun masih belum dilaksanakan, mereka yang sudah berpindah pun mula rasa gelisah apabila rumah yang dijanjikan tak siap-siap sehingga kini.

"Tawaran boleh dianggap hebat tetapi harga tanah di sini bukannya murah, pemaju boleh bayar pampasan tapi ini kampung halaman kami, nilainya tak boleh ditukar ganti," katanya.

Seorang lagi penduduk, Suriani Mohd Nor, 47, turut mengakui kurang yakin dengan perjanjian pembangunan semula kawasan tersebut.

"Saya kalau boleh mahu mempertahankan rumah ini kerana saya lahir dan membesar di sini, tambahan pula lokasinya strategik, mudah untuk ke mana-mana.

"Masa saya hadir untuk berikan keterangan tadi, saya ada tanya sama ada perjanjian lama masih terpakai jika saya mengubah fikiran. Namun pihak penilai belum ada keputusan mengenai hal tersebut menyebabkan kami juga kurang yakin dan kurang jelas," katanya.