336 projek penyelenggaraan infrastruktur diluluskan

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan meluluskan 336 projek penyelenggaraan infrastruktur dengan peruntukan sejumlah RM37.7 juta bagi rangsangan ekonomi menerusi Pelan Pemulihan Negara Fasa Dua di negeri ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, bagi menjalankan projek tersebut, sebanyak 1,092 daripada 1,615 kontraktor memenuhi syarat ditetapkan menerusi permohonan secara dalam talian.

“Jumlah kontraktor yang mendaftar secara dalam talian itu merangkumi 55.01 peratus daripada jumlah kontraktor Bumiputera berdaftar di bawah kelas G1. Setiap projek tersebut bernilai tidak melebihi RM100,000 dan tidak kurang dari RM80,000," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Cabutan Kerja Undi Penyenggaraan Jalan Di Bawah Peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) Negeri Sembilan Tahun 2021 Fasa Dua yang diadakan secara maya di sini, pada Khamis.

Jelasnya, cabutan undi itu tertumpu kepada projek penyelenggaraan seperti jalan dan longkang bagi menyediakan infrastruktur yang selamat dan selesa kepada pengguna jalan raya.

Katanya, program itu juga adalah sebahagian daripada pembangunan infrastruktur yang penting bagi memastikan rakyat mempunyai akses kepada kemudahan asas, peningkatan tahap produktiviti dan penambahbaikan penyampaian perkhidmatan.

Aminuddin turut mengingatkan kontraktor yang dilantik supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) industri pembinaan semasa melaksanakan kerja-kerja tersebut bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Beliau berkata, projek berkenaan perlu dimulakan selewat-lewatnya bulan depan dan disiapkan sebelum Disember ini bagi membolehkan pembayaran kerja siap dibuat dengan segera. - Bernama

Artikel Berkaitan: