Pharmaniaga sasar bekal vaksin ke Asia Tenggara, Afrika

Zulkarnain Md Eusope
Zulkarnain Md Eusope
A
A
A

PHARMANIAGA Bhd mahu mengembangkan kehadirannya di Asia Tenggara dan Afrika melalui pembekalan vaksin Sinovac Covid-19 yang dihasilkan dari kilang berteknologi tinggi miliknya.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, rantau Asia Tenggara, dengan populasi lebih 700 juta dan benua Afrika, dengan 1.3 juta penduduk, menawarkan potensi pertumbuhan yang luar biasa dan akan menjadi kawasan tumpuan syarikat untuk membekalkan vaksin.

"Selepas selesai mengedar dan membekalkan vaksin Sinovac Covid-19 berjumlah 20.4 juta dos kepada kerajaan Persekutuan, kami sedang mencari peluang untuk mengeksport vaksin ke luar negara," katanya pada taklimat akhbar maya mengenai keputusan syarikat bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2021.

Bagaimanapun, syarikat itu memerlukan persetujuan daripada pembekal utamanya, Sinovac Life Sciences Co Ltd, sebelum meneroka ke negara lain.

"Selain itu, kami perlu memahami kehendak negara-negara tertentu, sama ada mereka mahu kami membekalkan hanya untuk sektor kerajaan atau swasta, atau kedua-duanya," katanya lagi.

Syarikat itu dijangka mampu mengeluarkan vaksin ‘fill and finish’ yang telah didaftarkan di bawah Pharmaniaga menjelang Oktober tahun ini.

"Sebaik sahaja diperakui oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengeluaran vaksin ini akan memberikan lonjakan baharu memandangkan di dunia, hanya ada lima kilang penghasilan vaksin Sinovac secara ‘fill and finish’," katanya.

Sementara itu, menurut beliau lagi, setelah mendapat persetujuan baru-baru ini dari Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA) untuk mengeluarkan vaksin dua dos bebuli Sinovac Covid-19 secara ‘fill and finish’, kumpulan itu akan meneruskan pengeluarannya melalui kilang berteknologi tinggi di bawah subsidiari milik penuhnya, Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS).

Artikel Berkaitan:

"Ini akan meningkatkan kapasiti kilang secara serta-merta daripada dua juta dos kepada empat juta dos sebulan, mulai Ogos 2021.

"Kami sentiasa bersedia dalam menyediakan stok nasional bagi menyokong permintaan kerajaan jika berlaku penangguhan dalam penghantaran vaksin oleh pihak pengeluar vaksin yang lain termasuk mampu memenuhi permintaan daripada kerajaan negeri dan swasta,” katanya.

Menurut Zulkarnain lagi, syarikat itu juga telah menyerahkan dokumen berkaitan kepada NPRA yang membabitkan penggunaan vaksin Sinovac dalam kalangan kanak-kanak berumur 12 hingga 17 tahun di Malaysia, selepas ia mendapat persetujuan di Indonesia dan China.

Selain itu, Pharmaniaga menjangkakan Sinovac akan menawarkan suntikan penggalak tidak lama lagi untuk mengekalkan perlindungan terhadap virus itu, terutamanya daripada varian baharu.

Melangkah ke hadapan, syarikat itu kekal optimis terhadap keputusannya bagi suku ketiga berakhir September 2021 serta dijangka mencatatkan prestasi yang mantap dengan fokus ke arah kecekapan operasi dan disiplin fiskal sepanjang rantaian nilainya, termasuk pembekalan dan pengedaran vaksin Sinovac di pasaran negara dan antarabangsa.

Keuntungan bersih Pharmaniaga melonjak kepada RM13.70 juta pada suku kedua 2021 berbanding RM9.98 juta yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun sebelum ini berikutan kenaikan hasil sebanyak 82 peratus kepada RM1.18 bilion susulan permintaan yang lebih tinggi daripada semua segmen operasi, termasuk perniagaan di Indonesia.

Peningkatan ketara dalam perniagaan bukan konsesi adalah disebabkan oleh penjualan vaksin Sinovac kepada Kementerian Kesihatan.

Syarikat itu telah mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 1.5 sen sesaham yang akan dibayar pada 30 Sept 2021, kepada pemegang saham menjelang 8 September ini. - Bernama