X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Usaha pulihkan Gunung Jerai jangka ambil masa enam bulan

Pusat peranginan Titi Hayun dipenuhi serpihan batu-batu, kayu serta pasir akibat runtuhan dari puncak Gunung Jerai.
A
A

ALOR SETAR - Tragedi kepala air yang memusnahkan sebahagian besar pusat rekreasi dan keindahan semula jadi Gunung Jerai dijangka dapat dipulihkan dalam tempoh enam bulan.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Firdaus Ahmad berkata, jangkaan itu dibuat setelah kerajaan negeri menerima peruntukan daripada kerajaan Persekutuan yang memperuntukkan RM78 juta untuk membaik pulih kerosakan membabitkan daerah Merbok dan Yan.

Menurutnya, bagaimanapun peruntukan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu tidak merangkumi dana membaik pulih tempat pelancongan.

“Saya akan kemukakan permohonan berasingan membabitkan sektor pelancongan yang terjejas di kawasan terlibat kepada Perdana Menteri untuk peruntukan khusus. Permohonan akan dihantar secepat mungkin selepas penilaian selesai,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mohd Firdaus berkata, untuk peringkat awal, aspek yang perlu dipulihkan terlebih dahulu adalah membaiki kerosakan harta benda selain urusan pembersihan persekitaran yang terjejas teruk.

“Saya percaya dengan adanya dana daripada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, usaha pemulihan dapat dibuat dengan lancar agar kawasan pelancongan itu kembali pulih seperti sedia ada.

"Pembersihan berskala besar dengan bantuan pelbagai jentera sedang dilakukan memandangkan kawasan berkenaan dipenuhi lumpur tebal dan pokok serta kayu bersaiz besar,” katanya.

Menurutnya, pembersihan di rumah-rumah penduduk terjejas bencana pula kebanyakan dilakukan oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang hadir dari dalam dan luar Kedah.

Fenomena kepala air menghanyutkan sejumlah pokok tumbang menyebabkan Chalet Alang Kenari di kaki Gunung Jerai mengalami kerosakan teruk.
Fenomena kepala air menghanyutkan sejumlah pokok tumbang menyebabkan Chalet Alang Kenari di kaki Gunung Jerai mengalami kerosakan teruk.

“Aspek lain seperti bantuan selepas bencana sedang diusahakan oleh kerajaan negeri. Bantuan kepada penduduk terjejas antaranya sumbangan RM5,000 bagi yang kehilangan ahli keluarga manakala RM500 bagi keluarga yang terjejas,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Firdaus berkata, usaha pemulihan perlu dilakukan segera memandangkan daerah Yan antara penyumbang kepada sektor pelancongan di Kedah.

“Jumlah pelancong ke daerah Yan dianggarkan 10,000 hingga 12,000 setahun sebelum pandemik Covid-19, dan menurun dengan mendadak ketika pandemik.

"Pelancongan menyumbang sebahagian besar pendapatan kepada penduduk setempat, kebanyakan penduduk mengusahakan sektor pelancongan desa dengan membina resort selain aktiviti pertanian dan nelayan,” katanya.

Menurutnya, daerah Yan mempunyai daya tarikan tersendiri, berasaskan desa dan eko-pelancongan yang memiliki panorama kombinasi gunung-ganang, pulau, laut, air terjun serta kawasan sawah padi yang menarik.

“Kekuatan inilah yang menjadikan Yan sebagai daerah pelancongan desa yang mendapat perhatian pelancong luar termasuk luar negara,” katanya.

Mohd Firdaus berkata, buat masa ini, semua pusat rekreasi di Gunung Jerai, iaitu Batu Hampar, Titi Hayun dan Sri Perigi ditutup kepada pengunjung berikutan kawasan terlibat masih dalam proses baik pulih dan pembersihan.

Pada 18 Ogos lalu, enam mangsa terkorban selepas berlaku fenomena kepala air dari Gunung Jerai, mengakibatkan banjir besar yang menjejaskan lebih 800 rumah di daerah Yan dan 200 di Kuala Muda.

Ia turut menyebabkan 124 premis perniagaan dan 14 chalet pelancongan desa mengalami kerosakan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!