Nalina Nair, aktivis didakwa merusuh

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Wanita DAP Selangor, Nalina Nair Rama Krishnan dan seorang aktivis didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan merusuh serta berkelakuan tidak senonoh di balai polis dekat sini, minggu lalu.

Nalina Nair, 32 dan pelajar Doktor Falsafah (PhD), Sujatra Jayarah, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Tawfiq Affandi Chin dan Wong Chai Sia.

Mengikut pertuduhan, mereka masing-masing dituduh merusuh, berkelakuan tidak senonoh atau mengaibkan di lobi, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini pada 9 malam, 19 Ogos lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 94 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM500 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal dan Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar masing-masing menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun, kedua-dia teruduh yang diwakili peguam Farida Mohammad dan V. Yoges merayu agar ikat jamin ditetapkan pada kadar rendah kerana anak guam mereka banyak terlibat dalam kerja amal selain tiada mempunyai risiko untuk melarikan diri.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan Nalina Nair diikat jamin RM5,000 manakala Sujatra diikat jamin RM2,000, masing-masing dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 1 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Jumaat minggu lalu, media melaporkan seramai 31 ahli Sekretariat Solidariti Rakyat dikompaun RM2,000 seorang setelah didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) kerana terlibat dalam perhimpunan di padang Dataran Merdeka, di sini, pada jam 8 malam, 19 Ogos lalu.

Mereka berhimpun sempena program memorial memperingati mereka yang gugur akibat pandemik wabak Covid-19, sambil membakar lilin serta memegang kain rentang putih bertulis ‘Belasungkawa Jiwa-Jiwa Yang Telah Pergi’.