Hidupkan kembali Jalan Hang Tuah

Pertemuan Persatuan Usahawan Peniaga Jalan Hang Tuah bersama Norhizam.
Pertemuan Persatuan Usahawan Peniaga Jalan Hang Tuah bersama Norhizam.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka akan menghidupkan kembali kawasan sekitar Jalan Hang Tuah dengan menarik kedatangan lebih ramai pengunjung serta mengukuhkan kedudukan lokasi berkenaan sebagai produk pelancongan.

Ahli Parlimen Kota Laksamana, Khoo Poay Tiong berkata, kawasan itu dahulunya merupakan lokasi tumpuan ramai kerana sebelum ini stesen bas negeri terletak di bahagian belakang selain kawasan tumpuan lain seperti pusat membeli-belah dan pejabat kerajaan.

Selain itu katanya sebelum ini juga beliau dimaklumkan peruntukan besar telah dibelanjakan menaik taraf Jalan Hang Tuah, namun sayangnya sehingga kini tidak banyak hasil yang dilihat terutamanya dari segi kedatangan pelancong ke kawasan itu.

"Langkah itu selaras dengan usaha mempelbagaikan produk pelancongan negeri sempena Tahun Melawat Melaka 2019 selain membantu peniaga di Jalan Hang Tuah meningkatkan pendapatan mereka.

"Pelan menyeluruh membangunkan dua kawasan berkenaan akan dirangka sebelum pelaksanaannya dilakukan," katanya.

Poay Tiong berkata, pembangunan dua lokasi tersebut juga mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan tumpuan pelancongan di negeri itu seperti di Jonker Walk selain memberi pengalaman baharu kepada pelancong menikmati persekitaran kampung, makanan, adat dan budaya Melayu.

 Jalan Hang Tuah.
Jalan Hang Tuah.

Sementara itu, Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka, Norhizam Hassan Baktee berkata, pihaknya baharu sahaja mengadakan pertemuan dengan Persatuan Usahawan Peniaga Jalan Hang Tuah yang mempunyai lebih 100 orang ahli dan telah merangka beberapa cadangan bagi menyemarakkan lagi kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita sedia maklum kawasan ini kurang mendapat kunjungan orang ramai dan ia menyebabkan operasi perniagaan terjejas. Jadi di bawah kerajaan PH yang prihatin dengan nasib peniaga di sini, kita akan berusaha membantu mereka.

"Peringkat awal mungkin dilakukan untuk menarik tumpuan ramai di kawasan itu termasuklah mewujudkan perniagaan trak makanan, menjual pelbagai makanan popular di negeri ini, aktiviti perniagaan di siar kaki dan persembahan jalanan (busking)," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Usahawan Peniaga Jalan Hang Tuah (PUPJT), Zaini Ismail berkata, beliau yang mewakili peniaga menyambut baik cadangan berkenaan yang sudah pasti akan melonjakkan semula Jalan Hang Tuah sebagai antara lokasi tumpuan pengunjung di negeri ini.

"Apa yang kita rancang mahu menghidupkan semula Jalan Hang Tuah dengan mengadakan uptown sama seperti di Jonker Street dan Banda Hilir. Cuma kelainan kita, akan membuka kepada semua peniaga tanpa mengira bangsa tidak seperti di Banda Hilir hanya kelompok Melayu dan Jongker Street hanya kaum Cina.

"Setakat ini kira-kira 120 peniaga kecil sudah menyatakan persetujuan untuk menyertai peluang ini.

"Selain itu, kita turut mencadangkan supaya kerajaan negeri mewujudkan poliklinik dan pasar raya di Jalan Hang Tuah untuk menarik tumpuan ramai," katanya.