47 runtuhan tanah dikesan di Gunung Jerai

Runtuhan di Kilometer 8 laluan naik ke Gunung Jerai. Foto Bernama
Runtuhan di Kilometer 8 laluan naik ke Gunung Jerai. Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Sejumlah 47 runtuhan tanah dikesan di beberapa lokasi di lereng dan puncak Gunung Jerai oleh pasukan petugas bencana geologi, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dalam tempoh seminggu, selepas kejadian banjir dan fenomena kepala air di gunung itu pada minggu lepas.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Kedah, Perlis dan Pulau Pinang Abdullah Sulaiman berkata, runtuhan pelbagai saiz itu dikesan hasil pemetaan menggunakan unmanned aerial vehicle (UAV) atau dron di kawasan sasaran, selain pemantauan pasukan itu di lokasi dikenal pasti.

“Setakat semalam, pasukan taskforce kita telah kenal pasti 47 lokasi tanah runtuh di Gunung Jerai, iaitu 25 runtuhan tanah berlaku di kawasan Titi Hayun, 10 dikesan di Batu Hampar dan 10 lagi dikesan di laluan ke puncak gunung, manakala dua lagi runtuhan dikesan di Tanjung Jaga dan Lembah Bujang.

“Jadi kalau kita dapat bayangkan, sebahagian besar kejadian atau lokasi tanah runtuh itu berlaku di kawasan Titi Hayun dan Batu Hampar di sebelah daerah Yan. Apa yang berlaku ialah walaupun sudah berlaku runtuhan besar tetapi masih ada runtuhan kecil yang berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.

Beliau diminta mengulas perkembangan kajian dan siasatan pasukan petugas bencana geologi JMG yang ditugaskan mengenal pasti punca, selain membuat penilaian risiko berkenaan bencana yang berlaku pada 18 Ogos lepas.

Abdullah berkata, sebahagian besar runtuhan tanah yang ditemui itu adalah berskala besar iaitu bersaiz antara 10 hingga 50 meter lebar, selain ada juga runtuhan yang berskala kecil dengan saiz dua hingga lima meter lebar turut dikesan.

Menjelas lanjut beliau berkata, penemuan terbaharu itu sangat penting untuk pihaknya memahami gambaran sebenar di gunung itu, dan membuat kesimpulan yang komprehensif mengenai bencana geologi yang berlaku.

“Kita akan keluarkan dengan peta, lokasi dan sebagainya, dan paling penting kita akan lihat risiko pengurangan bencana (DDR), sebab kita tidak tahu jika bencana ini berulang pada masa akan datang, jadi kita mahu risiko itu dikurangkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bencana banjir ekoran fenomena kepala air yang berlaku pada petang 18 Ogos lalu telah mengorbankan enam nyawa dan menyebabkan kira-kira 800 rumah terjejas di daerah Yan dan 200 lagi di kawasan Merbok di daerah Kuala Muda. -Bernama