Di mana ibu kandung Nur Falisha?

Nur Falisha menunjukkan sijil kelahirannya.
Nur Falisha menunjukkan sijil kelahirannya.
A
A
A

SIMPANG RENGGAM - Sepasang suami isteri di Parit Wak Jubir di Benut, Pontian meminta bantuan orang ramai untuk mengesan ibu dan bapa kandung anak angkatnya bagi memudahkan proses dokumentasi dan penyerahan anak angkat secara sah.

Mohd Zulkarnain Sebede, 33, berkata, anak angkatnya, Nur Falisha Abdullah yang kini berumur tiga tahun diserahkan kepadanya oleh seorang wanita sehari selepas dilahirkan pada 24 April 2016 di Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) Kluang.

"Selepas wanita tersebut yang dikenali sebagai Noor Hartiqha Mohd Rudzuan dan kini berumur 27 tahun menyerahkan bayi ini kepada kami, saya sempat menghantarnya pulang ke rumah selepas menyelesaikan bil bersalin di hospital.

"Ketika itu saya hanya menerima surat pengesahan kelahiran daripada pihak HEBHK sahaja tanpa disertakan sekali maklumat berkaitan ibu dan bapa bayi berkenaan," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia dan isterinya, Noraini Ismail, 36, juga beberapa kali pergi ke kediaman wanita tersebut yang dipercayai rumah sewanya di Taman Putrimas, di sini, namun gagal menemui ibu kandung kanak-kanak berkenaan.

Katanya, enggan berputus asa, dia kemudian pergi ke alamat wanita tersebut berdasarkan salinan kad pengenalan yang diberikan kepadanya iaitu di Kampung Batu 7, di sini, namun penduduk di kawasan berkenaan mendakwa tidak mengenali wanita tersebut.

"Tujuan kami mencarinya adalah untuk menyelesaikan masalah penyerahan anak angkat melalui cara yang sah di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana bimbang berlaku perkara yang menyulitkan urusan dokumen peribadinya apabila dewasa nanti.

"Saya dan isteri sudah menganggap Nur Falisha ini seperti anak kandung kami sendiri dan sebab itu saya minta ibu kandung anak angkat kami oni dapat memberikan kerjasama bagi memudahkan urusan kami," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dia percaya wanita tersebut yang masih berada di sekitar daerah ini dapat menghubunginya di talian 0177096875 bagi melakukan urusan berkaitan demi kebajikan masa depan kanak-kanak berkenaan.