96,809 PATI dihantar pulang dalam Program Rekalibrasi Pulang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 96,809 pendatang tanpa izin telah dihantar pulang ke negara masing-masing menerusi Program Rekalibrasi Pulang hingga 20 Ogos lepas, kata Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (Kawalan), Datuk Makhzan Mahyuddin.

Beliau berkata, bagi tempoh yang sama juga seramai 174,068 pendatang tanpa izin telah mendaftar di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja untuk digajikan semula secara sah.

“Melalui Program Rekalibrasi Tenaga Kerja, majikan daripada lima sektor yang mengalami kekurangan pekerja susulan pembekuan pengambilan tenaga kerja asing boleh menggajikan pendatang tanpa izin bagi menampung kekurangan tenaga kerja mereka.

"Majikan perlu memastikan pendatang tanpa izin berkenaan mempunyai dokumen perjalanan yang sah, didaftarkan dengan Imigresen untuk diverifikasikan dan mendapatkan kelulusan kuota pekerja asing daripada Kementerian Sumber Manusia sebelum diluluskan Imigresen,” katanya dalam program Pelan Rekalibrasi di Bernama Radio pada Khamis.

Beliau berkata, pendatang tanpa izin dari 15 negara antaranya Thailand, Indonesia, India, Pakistan dan Sri Lanka sahaja boleh mengikuti program berkenaan yang diluluskan dan akan diberikan Pas Lawatan Kerja Sementara.

Makhzan berkata, lima sektor yang diluluskan di bawah Pelan Rekalibrasi Pendatang Tanpa Izin adalah sektor perladangan, pertanian, pembinaan, perkilangan dan perkhidmatan.

Menurutnya, berikutan levi pekerja asing yang berlainan, majikan dikenakan bayaran sebanyak RM2,535 bagi setiap pekerja asing untuk sektor pertanian dan perladangan manakala RM3,745 setiap seorang bagi sektor pembinaan, perkilangan dan perkhidmatan.

“Selain itu sebanyak RM640 dikenakan bagi sektor pertanian dan perladangan serta RM1,850 bagi tiga sektor yang lain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Pelan Rekalibrasi Pendatang Tanpa Izin akan dilaksanakan hingga 31 Disember ini atau sehingga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi pendatang tanpa izin selesai dan pihaknya berharap majikan dan pendatang tanpa izin memanfaatkan pelan itu untuk mengelakkan mereka ditahan dan didakwa.

Makhzan berkata, bagi pendatang tanpa izin yang mahu mengikuti Program Rekalibrasi Pulang, mereka hanya perlu membayar kompaun antara RM300 hingga ke RM500 mengikut kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan perlu mempunyai tiket penerbangan dan keputusan ujian Covid-19 yang sah.

Katanya, Program Rekalibrasi Pulang terbuka kepada semua pendatang tanpa izin kecuali individu yang mempunyai kesalahan jenayah berikutan mereka perlu didakwa di mahkamah terlebih dahulu. - Bernama