Insentif suntik semangat empat atlet paralimpik

Khairul Shahril ketika sesi persidangan DUN Perak. Foto: ihsan SUK Perak
Khairul Shahril ketika sesi persidangan DUN Perak. Foto: ihsan SUK Perak
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak memberi insentif sebanyak RM5,000 kepada empat atlet kelahiran negeri itu yang kini beraksi di temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, sumbangan berkenaan diberikan kepada atlet badminton, Cheah Liek Hou, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin (berbasikal), Chee Chao Ming (ping pong) dan Abu Samah Borhan yang mewakili acara tenis berkerusi roda.

"Saya suka untuk berkongsi mengenai Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (PESRON) Perak. Mereka adalah persatuan yang menguruskan program persediaan kontinjen para Sukma bersama pihak Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak.

"Lebih membanggakan empat orang atlet para dari negeri Perak juga sudah berada di Tokyo, Jepun bagi mewakili negara dalam temasya Paralimpik 2020.

"Kerajaan negeri telah berbesar hati untuk menyumbangkan sebanyak RM5,000 kepada setiap atlet sebagai pembakar semangat untuk ke Tokyo," katanya ketika menjawab soalan Dr Jurij Jalaludin (BN-Lubuk Merbau) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14, di sini pada Khamis.

Menurutnya, terdapat banyak pertubuhan belia dan sukan yang pernah mengharumkan nama negeri antaranya Majlis Belia Daerah Kuala Kangsar dan Majlis Belia India Malaysia (MIYC) Cawangan Teluk Intan.

"Saya juga dimaklumkan bahawa Pengerusi PESRON negeri, Muhammad Danial Azli telah dilantik sebagai Ketua Penerangan Majlis Belia OKU Malaysia bagi sesi 2021-2024.

"Semangat seorang beliawanis, Norfarrah Syahirah Shaari, 32, walaupun dilahirkan tanpa kedua-dua tangan turut menyumbang tenaga dengan menjahit pakaian perlindungan diri (PPE) dan seterusnya menerima Anugerah Unsung Heroes dari Kementerian Belia dan Sukan sewaktu Sambutan Hari Belia Peringkat Kebangsaan pada tahun 2020," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kekurangan fizikal tidak merencatkan semangat mereka untuk berbakti kepada negeri dan usaha baik mereka dicontohi keseluruhan warga belia.

End