Sehari 20 pasangan bercerai di Perak

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Asmuni Awi melahirkan kebimbangan dengan kadar penceraian di negeri ini yang merekodkan 20 pasangan Islam bercerai setiap hari.

Wakil rakyat dari Amanah itu berkata, keadaan yang berlaku akibat impak pandemik Covid-19 itu adalah satu angka yang besar dan perlu diberi perhatian serius.

Menurutnya, berdasarkan perangkaan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, sebanyak 71,806 kes penceraian dicatatkan bagi bagi tempoh Januari 2020 hingga Jun 2021 bersamaan 132 kes sehari.

"Kalau jumlah ini dipecahkan mengikut negeri, Perak telah menyumbang sebanyak 12 peratus daripada keseluruhan kes penceraian berkenaan yang mana sebanyak 20 pasangan bercerai setiap hari ataupun 450 pasangan sebulan," katanya pada sesi perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-14 di sini pada Khamis.

Beliau berkata, antara punca utama penceraian adalah disebabkan masalah kewangan susulan hilang pekerjaan dan penutupan perniagaan yang memberi kesan kepada ekonomi rakyat.

Katanya, kajian yang dibuat terhadap 6,500 responden pelbagai lapisan masyarakat sebelum ini merumuskan beberapa kebimbangan utama yang dirasai respodan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Antaranya kebimbangan mereka ialah kadar jangkitan yang merisaukan, tahap simpanan yang rendah, belanja yang tidak mencukupi, tangungan hutang semakin meningkat dan hilang pekerjaan atau punca pendapatan," katanya.

Artikel Berkaitan: