Lebih RM1.22 juta barangan seludup dirampas

Mat Shukor menunjukkan sembilan ekor anak anjing jenis Bulldog bernilai RM61,000 yang merupakan sebahagian daripada rampasan Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa sepanjang penugasan Op Benteng Covid-19 di sempadan Malaysia-Thailand bermula dari Rantau Panjang sehingga ke Pengkalan Kubor, Tumpat.
Mat Shukor menunjukkan sembilan ekor anak anjing jenis Bulldog bernilai RM61,000 yang merupakan sebahagian daripada rampasan Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa sepanjang penugasan Op Benteng Covid-19 di sempadan Malaysia-Thailand bermula dari Rantau Panjang sehingga ke Pengkalan Kubor, Tumpat.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pelbagai barangan seludup bernilai lebih RM1.22 juta berjaya dirampas Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa dalam tempoh 10 hari di sempadan Malaysia-Thailand bermula dari Rantau Panjang sehingga ke Pengkalan Kubor (Tumpat).

Kejayaan tersebut menerusi penugasan Op Benteng Covid-19 yang bermula 16 Ogos hingga Khamis sejak mengambil alih kawalan dari Batalion 9 PGA Kuala Terengganu.

Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintendan Mat Shukor Yusof berkata, rampasan vape berjumlah RM296,000 menjadi penyumbang terbesar kepada kejayaan tersebut sepanjang tempoh 10 hari operasi.

"Ia diikuti oleh karkas babi seberat 650 kilogram bernilai RM195,000.

"Bukan itu sahaja, Batalion 8 PGA turut mematahkan cubaan menyeludup masuk sembilan ekor anak anjing jenis Bulldog bernilai RM61,000," katanya ketika sidang akhbar di Markas Taktikal Lubok Stol, di sini pada Khamis.

Menurutnya, seekor kuda bernilai RM20,000 turut dirampas sepanjang operasi tersebut selain barangan-barangan lain.

Beliau berkata, sepanjang penugasan itu PGA turut menahan 23 individu lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan berkait dengan aktiviti penyeludupan.

Mat Shukor berkata, pelbagai jenis kenderaan yang digunakan untuk aktiviti menyeludup berjumlah RM526,000 turut dirampas dalam operasi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Batalion 8 PGA akan terus memperketatkan lagi kawalan sempadan dengan membuat pemantauan di pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bagi membendung aktiviti jenayah rentas sempadan.