Lans Koperal mengaku tidak bersalah terima rasuah

Tertuduh diiring SPRM di Mahkamah Sesyen Seremban.
Tertuduh diiring SPRM di Mahkamah Sesyen Seremban.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang polis berpangkat Lans Koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Khamis atas dua pertuduhan rasuah bagi menyelesaikan kes tangkapan seorang suspek dua tahun lalu.

Tertuduh Kamalruzaman Mohd Sanusi, 34, bagaimana pun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Madihah Harullah selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang ketika kejadian bertugas di Bahagian PIFOS, (D13) Siasatan Databank DNA di Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Sepang, Selangor telah menerima wang tunai sebanyak RM 1,000 daripada seorang lelaki untuk menyelesaikan kes tangkapan seorang suspek.

Perbuatan itu dilakukan pada 16 Januari 2019 lebih kurang jam 10 malam di sebuah rumah di Taman College Height di Seremban.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah setuju menerima rasuah wang tunai RM1,000 daripada lelaki sama yang kononnya tertuduh boleh menyelesaikan kes tangkapan suspek sama.

Kesalahan itu dilakukan pada 18 Januari 2019 lebih kurang jam 10 malam di sekitar kedai kain Jakel Senawang di Seremban.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a) (B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) itu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan mengikut mana yang lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Madihah menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh diminta untuk melapor diri di pejabat SPRM Negeri Sembilan pada minggu pertama setiap bulan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 29 September.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali dan tertuduh tidak diwakili peguam.