Tauliah mengajar buat ahli politik tidak akan disambung

Persidangan DUN Selangor. Gambar kecil: Amirudin Shari
Persidangan DUN Selangor. Gambar kecil: Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM – Tauliah mengajar buat ahli politik yang terlibat secara jelas dalam mana-mana parti di Selangor tidak akan disambung berdasarkan penetapan dibuat oleh Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagaimanapun, jawatankuasa berkenaan yang bersidang pada 6 April lalu memutuskan agar tempoh tauliah mengajar ahli politik yang masih berkuat kuasa akan dikekalkan sehingga tamat tempoh sah dengan beberapa syarat ditetapkan.

Amirudin berkata, antara syarat terlibat adalah pihak berkenaan perlu menyampaikan ceramah tanpa menyentuh isu kepartian, mengaitkan individu tertentu, menyebarkan fitnah dan menjaga akhlak serta kemuliaan masjid sebagai pusat ibadah.

“Apabila ada sebarang pembaharuan bagi tauliah mengajar selepas ini, semua (ahli politik) yang ada jawatan jelas dalam politik tidak dibenar sambung tauliah terbabit dan itu adalah keputusan diputuskan oleh Jawatankuasa Tauliah MAIS.

“Buat masa ini, jumlah ahli politik yang masih sah memegang tauliah di Selangor adalah seramai 31 orang sehingga tempoh ditetapkan tamat,” katanya sewaktu Persidangan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor, di sini pada Khamis.

Amirudin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan dikemukan oleh Syamsul Firdaus Mohamed Supri (PKR-Taman Medan) yang meminta pengesahan kerajaan negeri berhubung status tauliah mengajar melibatkan ahli politik di Selangor.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, perkara berkenaan turut mendapat perkenan daripada Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor yang bersidang pada 4 Mac 2019.

“Keputusan ini diputuskan oleh MAIS dan kemudiannya turut mendapat perkenan Mesyuarat Dewan Diraja Selangor Bil 151/2019,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Amirudin, satu pindaan juga telah dicadangkan kepada Jawatankuasa Tauliah MAIS bagi membolehkan mereka memberi tafsiran jelas tentang maksud ahli politik yang dibangkitkan dalam peraturan tauliah berkenaan.