X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Bursa Malaysia teruskan aliran menaik lima hari berturut-turut

Gambar hiasan
A
A

DAGANGAN di Bursa Malaysia meneruskan aliran peningkatannya untuk hari kelima berturut-turut apabila dibuka tinggi pagi awal dagangan Khamis, didorong oleh momentum belian berterusan di tengah-tengah sentimen pasaran yang positif selain pengukuhan harga komoditi dan minyak.

Pada pukul 9.09 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.90 mata kepada 1,573.70 daripada 1,569.80 pada penutupan semalam (Rabu).

Indeks utama dibuka 0.92 mata lebih tinggi pada 1,570.72.

Pergerakan harga di pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 246 berbalas 181 manakala 290 kaunter tidak berubah, 1,535 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 313 juta saham bernilai RM159 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pelabur asing membeli ekuiti tempatan bernilai RM236.5 juta semalam - pembelian bersih harian tertinggi sejak pertengahan Jun di tengah-tengah ketenangan persekitaran politik tempatan semasa.

"Walaupun indeks utama terus meningkat, aktiviti pengambilan untung mungkin muncul selepas lonjakan yang kukuh dicatatkan oleh bursa,” kata firma penyelidikan itu dalam satu nota penyelidikan pada Khamis.

Ia juga berkata, pelabur mungkin menyasarkan sektor perladangan dan tenaga berikutan kenaikan harga minyak sawit mentah dan harga minyak mentah yang lebih mantap, dengan penanda aras minyak mentah Brent melepasi paras AS$72 (RM293 ) setong.

Di peringkat antarabangsa pula, pelabur masih menantikan hasil daripada Simposium Tahunan Dasar Ekonomi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat bagi mendapatkan hala tuju dasar monetari yang dijangka mampu mempengaruhi sentimen pasaran.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Petronas Chemicals naik 23 sen kepada RM8.38, Sime Darby meningkat lapan sen kepada RM2.34, Press Metal menambah enam sen kepada RM5.30, sementara MISC dan Telekom Malaysia mengukuh sembilan sen, masing-masing kepada RM7.00 dan RM6.05.

Sementara itu, Maybank turun satu sen kepada RM8.32 dan Public Bank naik satu sen kepada RM4.11.

Bagi saham aktif, Ta Win menokok dua sen kepada lima sen, Parkson lebih tinggi sebanyak tiga sen pada 22.5 sen sementara BCM Alliance dan Scope Industries masing-masing turun dua sen kepada 7.5 sen dan 34.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 22.57 mata kepada 11,472.03, Indeks FBMT 100 menambah 22.07 mata pada 11,180.66, Indeks FBM Emas Syariah menokok 38.72 mata kepada 12,590.62, FBM 70 lebih tinggi 7.52 mata kepada 14,941.16 dan FBM ACE kerugian 21.89 mata kepada 7,267.23.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 29.96 mata kepada 6,692.97, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 23.62 mata kepada 15,358.33 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 2.29 mata kepada 196.88. -Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!