Ringgit terus kukuh berbanding dolar AS

Ringgit meneruskan peningkatannya untuk hari keempat berturut-turut dan dibuka tinggi pagi ini.
Ringgit meneruskan peningkatannya untuk hari keempat berturut-turut dan dibuka tinggi pagi ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit meneruskan peningkatannya untuk hari keempat berturut-turut dan dibuka tinggi pagi ini, didorong oleh selera risiko yang semakin baik untuk aset berisiko dan mata wang baharu muncul berikutan sentimen pasaran yang positif, kata para peniaga.

Pada jam 9 pagi, unit tempatan itu disebut harga pada 4.1950/2000 berbanding dolar AS daripada 4.2010/2055 pada penutupan semalam (Rabu).

Seorang peniaga berkata, kebimbangan yang semakin mereda terhadap pengurangan rangsangan oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat selain harapan tinggi agar ekonomi global pulih lebih cepat daripada jangkaan, dibantu oleh kemajuan pemberian vaksin - telah mendorong para pelabur untuk mengumpul aset bukan berasaskan dolar AS.

Sementara itu, Jabatan Perangkaan Malaysia semalam mengumumkan Indeks Harga Pengguna Malaysia berkembang 2.2 peratus tahun ke tahun pada Julai 2021 kepada 122.5, menjadikannya bulan keenam berturut-turut berada dalam zon positif kerana kesan asas yang rendah.

Pada paras pembukaan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1010/1051 daripada 3.1056/1092 pada Rabu, mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.8116/8161 daripada 3.8254/8298, dan lebih tinggi berbanding euro kepada 4.9354/9413 daripada 4.9362/9415 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit lemah berbanding pound Britain kepada 5.7715/7784 daripada 5.7667/7729 pada penutupan urus niaga Rabu. -Bernama

Artikel Berkaitan: