Kontinjen paralimpik negara mampu lebih menyerlah

Atlet powerlifting paralimpik negara, Bonnie Bunyau Gustin bersama atlet olahraga paralimpik negara Siti Nooriasah Mohamad Ariffin membawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik.
Atlet powerlifting paralimpik negara, Bonnie Bunyau Gustin bersama atlet olahraga paralimpik negara Siti Nooriasah Mohamad Ariffin membawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik.
A
A
A

KETUA kontinjen negara, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin yakin dua atlet para negara, Chee Chao Ming dan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli mampu untuk bangkit dan seterusnya mara hingga ke peringkat penentuan pingat pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Menurut Megat D Shahriman, kedua-dua atlet berkenaan tewas pada peringkat permulaan dan masih boleh meneruskan aksi masing-masing pada peringkat seterusnya bagi memastikan kemaraan.

“Hari ini (Rabu) dalam acara ping pong, kita kalah pada pusingan pertama. Tapi tak apa, kita masih ada lagi peluang pada perlawanan seterusnya.

“Dalam pada itu, atlet renang kita, Muhammad Nur Syaiful juga tidak bernasib baik hari ini apabila berlaku kesilapan teknikal dan menyebabkan penyertaannya dibatalkan; namun dia masih boleh bangkit dalam tiga lagi acara renang yang lain.

“Oleh itu, kita berharap kedua-duanya dapat kekal fokus dan tidak melakukan sebarang kesilapan lagi kerana saya melihat kedua-duanya begitu bersemangat untuk melakukan yang terbaik kali ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Untuk rekod, atlet ping pong para negara Chao Ming 24, tewas 16-11, 7-11 dan 4-11 kepada atlet Itali, Mohamed Kalem di Gimnasium Metropolitan,

Tokyo manakala atlet renang para negara Muhammad Nur Syaiful, tersingkir daripada acara 200 meter (m) renang gaya bebas di Pusat Akuatik, Tokyo apabila penyertaannya dibatalkan akibat kesilapan teknikal.

Tambah Megat D Shahriman, biarpun tidak ada sebarang simptom atau kes yang melibatkan atlet para negara, namun pihaknya tetap mengambil langkah berjaga-jaga dan mengingatkan kesemua atlet dan pegawai untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Artikel Berkaitan:

“Alhamdulillah, setakat ini semua atlet dilaporkan dalam keadaan sihat, tak ada masalah dan semua atlet ikuti SOP yang ketat di sini.

“Cuma bila naik bas ramai-ramai, kumpul ramai-ramai itu yang kita risau. Namun setakat ini semuanya ok dan kita juga berpuas hati dengan acara pembukaan di mana rasanya baju kita mungkin antara yang terbaik,” katanya.

Mengulas mengenai sasaran tiga emas bagi kontinjen negara pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Megat D Shahriman berkata, sasaran berkenaan dilihat masih relevan.

Malah tegas Megat D Shahriman, berkemungkinan akan berlaku pertambahan pingat berdasarkan kepada semangat yang ditunjukkan oleh kesemua atlet para ketika ini.

“Sasaran kita masih kekal tiga emas seperti di Rio 2016. Kalau ada tambahan pingat yang lain, alhamdulillah. Namun sekarang ni, masih terlalu awal untuk kita dan saya yakin semua atlet ini akan lakukan yang terbaik,” katanya.