Tiga saranan buat PM pilih anggota kabinet

Ismail Sabri. - Foto Bernama
Ismail Sabri. - Foto Bernama
A
A
A

TIDAK sampai 10 hari menjawat jawatan nombor satu negara, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dihujani dengan pelbagai bentuk luahan dan kebimbangan mengenai saiz kabinet, siapa yang perlu dan tidak perlu dilantik, komposisi pembahagian jawatan termasuk jawatan paling popular iaitu Timbalan Perdana Menteri.

Di sebalik raut wajah tenang itu sudah pasti beliau juga berdebar-debar untuk memilih, seterusnya memperkenalkan pilihan beliau kepada rakyat.

Mungkin ini masa terbaik Ismail Sabri membuat kejutan dan kelainan memilih barisan kabinetnya sebagaimana dilakukan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pertama kali dalam sejarah negara, jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak diwujudkan, sebaliknya Muhyiddin melantik empat Menteri Kanan yang berfungsi membantu Perdana Menteri.

Kedua, Muhyiddin turut melantik dua jawatan penting dalam kabinet yang bukan terdiri daripada ahli politik iaitu jawatan Menteri Kewangan dan Menteri Hal Ehwal Agama.

Ketiga, mungkin ada baiknya jika Ismail Sabri memberi ruang kepada blok pembangkang menyertai kabinet agar kerjasama antara kerajaan dan pembangkang membawa kebaikan kepada rakyat.Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyatakan dengan jelas akan bekerjasama jika kerajaan mahukan kerjasama pembangkang.

Sebenarnya barisan kabinet yang akan dibentuk itu akan menjadi kayu pengukur terhadap pembaharuan dan keyakinan rakyat terhadap masa depan negara.

Dalam pada itu, netizen di Twitter dilihat lebih positif dan menyambut baik pertemuan Ismail Sabri bersama pimpinan utama Pakatan Harapan (PH) pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Melalui ciapan #PolitikMalaysia, netizen lega apabila Perdana Menteri mengumumkan kerajaan dan pembangkang telah mencapai persetujuan bersama memperkasa fungsi Parlimen sebagai institusi bertanggungjawab serta konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus serta memenuhi kehendak rakyat.

Mungkinkah kesepakatan dan kematangan dalam politik seperti ini yang ditunggu rakyat Malaysia? Sebelum ini rakyat bersikap skeptikal terhadap apa yang dijanjikan oleh wakil rakyat mereka, namun apa yang dilihat hari ini mungkin perubahan yang didambakan oleh rakyat Malaysia.