Hijau Kuning berpesta gol di Petaling Jaya

Antara aksi menarik pertemuan KDA menentang PJ City di Stadium MBPJ, malam ini. FOTO: Kedah Darul Aman FC
Antara aksi menarik pertemuan KDA menentang PJ City di Stadium MBPJ, malam ini. FOTO: Kedah Darul Aman FC
A
A
A

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) melonjak ke tangga ketiga Liga Super selepas membelasah Petaling Jaya City (PJ City) FC 4-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.

Anak buah Aidil Sharin Sahak membuka jaringan seawal minit keempat menerusi jaringan Rabih Ataya untuk menterjemahkan penguasaan KDA di awal babak pertama.

Percubaan demi percubaan dilakukan KDA sekali lagi menghukum anak buah P Maniam apabila jaringan Kpah Sherman menembusi gawang pada minit ke-45 masa tambahan separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, duka semakin menimpa skuad The Pheonixs apabila Kpah sekali lagi menyumbat gol keduanya pada minit ke-56 untuk meletakkan KDA selesa di depan.

Tersentak dengan keputusan itu, PJ City cuba mengejar selain berhasil menemui gol tunggal mereka menerusi jaringan Khyril Muhymeen Zambri pada minit ke-61.

KDA bingkas memutlakkan kemenangan pada minit ke-90 masa kecederaan menerusi jaringan Fayadh Zulkifli untuk terus memberi kehampaan kepada PJ City yang tewas berturut-turut dalam perlawanan Liga Super sebelum ini.

Sementara itu, Kuching City FC menewaskan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang dalam aksi tunggal Liga Premier petang tadi.

Skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim melakar kemenangan kedua berturut-turut di stadium berkenaan menerusi jaringan Mohd Irwan Syazmin Wahab di minit ke-58 dan Amir Amri Salleh pada minit ke-82 sementara gol tunggal JDT II dihasilkan minit ke-17 hasil jaringan Fernando Rodriguez Ortega. - Bernama

Artikel Berkaitan: