Robertson setia bersama Liverpool

Andy Robertson - Foto AFP
Andy Robertson - Foto AFP
A
A
A

TONGGAK pertahanan Liverpool, Andy Robertson menegaskan dia teruja apabila dapat mengekalkan komitmennya untuk tempoh lima tahun lagi sehingga 2026 bersama The Reds di Anfield.

Menurut Robertson, firasatnya percaya The Reds merupakan platform terbaik apabila Liverpool mula mengadakan perbincangan mengenai masa depannya bersama kelab itu.

“Sejujurnya, saya amat gembira kerana dapat lagi berkhidmat bersama kelab ini, malah ia bukan lagi satu rahsia apabila saya cukup selesa berada di sini.

“Seboleh-bolehnya saya mahu memanjangkan tempoh perkhidmatan di Anfield, apatah lagi mendapat sokongan dalam kalangan ahli keluarga kerana semua yang kami mahu ada di Liverpool.

“Lanjutan kontrak bersama Liverpool juga seolah-olah seperti semalam saya baru menyertai kelab sarat kejuaraan liga Inggeris ini, yang menyuntik motivasi meraih lebih banyak lagi kejuaraan pada masa depan,” katanya.

Keputusan kapten Scotland berusia 27 tahun tersebut sekali gus mengikuti jejak langkah lima pemain The Reds lain yang menandatangani kontrak baharu bersama antara pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu sebelum ini memberi keutamaan untuk mengekalkan tonggak sedia ada antaranya Virgil van Dijk, Trent Alexander-Arnold, Alisson dan Fabinho berbanding mendapatkan pemain baharu pada jendela perpindahan musim panas ini.

Untuk rekod, The Reds giat mengadakan rundingan dengan penyerang sensasi mereka, Mohamed Salah yang masih berbaki dua tahun lagi di Anfield selain menjangkakan kapten, Jordan Henderson akan kekal.

Artikel Berkaitan:

Sejak menyertai Liverpool dari Hull City pada 2017, Robertson berjaya mengekalkan statusnya dengan 177 penampilan sebagai antara pilihan utama Klopp ketika meraih kejuaraan antaranya Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara, Kejuaraan Piala Dunia Kelab dan Piala Super UEFA.

Robertson yang dilantik kapten pasukan Scotland pada September 2018 tidak beraksi dalam dua perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris selepas cedera ligamen buku lali ketika aksi pra-musim menentang kelab Sepanyol, Athletic Bilbao.