Kelayakan Piala Asia B-23: FAM panggil 27 pemain ke latihan pusat

Senarai nama 27 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat Fasa 1 di Petaling Jaya, bermula 30 Ogos hingga 7 September ini. - Foto FAM
Senarai nama 27 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat Fasa 1 di Petaling Jaya, bermula 30 Ogos hingga 7 September ini. - Foto FAM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 27 pemain dipanggil ketua jurulatih skuad bola sepak Bawah 20 Tahun (B-20) kebangsaan, Brad Maloney untuk menyertai kem latihan pusat Fasa 1 secara kuarantin selama sembilan hari di Petaling Jaya, bermula 30 Ogos hingga 7 September ini.

Menerusi kenyataan dalam laman sesawang rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), ia merupakan persiapan awal pasukan itu menjelang saingan Kumpulan J, Kelayakan Piala Asia B-23 2022 dari 27 hingga 31 Oktober ini berdepan Laos, Mongolia dan Thailand di Ulaanbaatar, Mongolia.

Antara pemain yang dipanggil adalah dari Selangor FC II iaitu Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil, Muhammad Azrin Afiq Rusmini, Muhammad Izzul Adham Suhaimi, Muhammad Faiz Amer Runnizar, Muhammad Fahmi Daniel Mohd Zaaim, Muhammad Khairi Suffian Khaineyusri, Saravanan Thirumurugan, Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan dan Muhammad Iqmal Ramlan.

Pemain Terengganu FC II juga turut dipanggil iaitu Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin, Muhammad Hairiey Hakim Mamat, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar, Muhammad Syafik Ismail dan Muhammad Muslihuddin ‘Atiq Mat Zaid.

Maloney turut memanggil pemain pasukan JDT II, Muhammad Firdaus Ramli, Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri, Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan, Muhammad Firdaus Muhamad Kaironnisam Sahabudin dan Muhammad Shafi Azswad Sapari.

Nama lain turut dipanggil iaitu Mohamad Nabil Asyraf Ramli, Muhammad Amirul Akmal Safarinizam, Azhad Harraz Arman, Muhammad Hazwan Hassan daripada Skuad Projek FAM-MSN selain Mohd Aiman Afif Md Afizul daripada Kedah Darul Aman FC.

“Selain itu, dua nama lain ialah Adam Roshan Kris Azman yang bermain buat pasukan Brook House FC dan Mohamed Amir Mohamed Faruk bermain dengan Chipstead FC masing-masing berpangkalan di England,” menurut kenyataan itu,

Sementara itu, FAM pada masa sama memaklumkan pemain lain beraksi dalam Liga Super 2021 akan dipanggil menyertai pasukan pada kem latihan pusat Fasa 2 dijadual bermula pada 19 September iaitu sehari selepas berakhirnya saingan liga itu bersama beberapa lagi pemain dari luar negara seperti Luqman Hakim Shamsudin dan Wan Kuzri Wan Kamal.

Artikel Berkaitan:

Skuad kendalian Maloney bakal memulakan saingan di Ulaanbaatar bertemu Laos pada 27 Oktober diikuti aksi menentang tuan rumah, Mongolia pada 29 Oktober dan perlawanan terakhir berdepan Thailand pada 31 Oktober bagi merebut tempat ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada Jun 2022. - Bernama