866 remaja, kanak-kanak dijangkiti Covid-19 di Sabah

Seramai 866 remaja dan kanak-kanak dijangkiti Covid-19 di Sabah pada Rabu. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
Seramai 866 remaja dan kanak-kanak dijangkiti Covid-19 di Sabah pada Rabu. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Seramai 866 orang daripada keseluruhan 3,224 kes positif Covid-19 direkodkan di Sabah pada Rabu merupakan remaja serta kanak-kanak berusia 17 tahun dan ke bawah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap Covid-19 Sabah itu berkata daripada jumlah itu, seramai 565 orang berumur enam hingga 17 tahun, 268 orang berusia satu hingga lima tahun, manakala 33 orang berusia kurang setahun.

"Kesemua 866 orang didapati positif Covid-19 ini masih belum layak untuk diberikan vaksin...sehingga semalam 53.9 peratus penduduk dewasa Sabah telah memperoleh satu dos vaksin dan 32.5 peratus telah melengkapkan pengambilan dua dos," katanya menerusi kenyataan malam Rabu.

Beliau berkata, daripada jumlah kes direkodkan pada Rabu juga seramai 2,119 orang positif pandemik itu berusia antara 18 hingga 59 tahun, manakala 239 orang merupakan warga emas berusia 60 tahun atau lebih.

Masidi berkata, seluruh daerah di Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif Covid-19 yang terus meningkat dengan Kota Kinabalu merekodkan kes tertinggi hari ini iaitu 630 kes, Penampang (413) dan Tuaran (348).

"Dengan jumlah catatan sebanyak 2,098 kes daripada saringan kontak rapat, dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan prosedur operasi standard yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak kerajaan," katanya.

Beliau berkata, jumlah kes dicatatkan pada Rabu menjadikan jumlah kumulatif keseluruhan di Sabah mencapai 131,030 kes, manakala seramai 2,020 pesakit Covid-19 sembuh hari ini (Rabu) menjadikan jumlah kumulatif sembuh seramai 101,624 dan 4,763 pesakit sedang menerima rawatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: