Tragedi kepala air: Salur bantuan menerusi PKOB elak 'kluster Yan'

Kamarul Zaman (kiri) hadir menyampaikan sumbangan, sijil penghargaan dan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada pesara polis, Yahya Samat (kanan) di Taman Jelutong, Kuala Nerang pada Rabu.
Kamarul Zaman (kiri) hadir menyampaikan sumbangan, sijil penghargaan dan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada pesara polis, Yahya Samat (kanan) di Taman Jelutong, Kuala Nerang pada Rabu.
A
A
A

KUALA NERANG - Semua bantuan yang mahu disalurkan kepada mangsa tragedi kepala air di Yan perlu dibuat menerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah tersebut.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat mengingatkan perkara tersebut kerana negeri ini masih lagi di bawah Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan beberapa tempat di Yan juga masih dalam zon merah.

Menurutnya, sebelum ini banyak kenderaan dilihat memasuki kawasan tersebut sehingga berlakunya kesesakan.

“Semua sumbangan perlu menerusi PKOB. Buat masa ini keadaan jalan di sana sempit, banyak kenderaan keluar masuk hingga menyebabkan kesesakan dan Kedah masih dalam Fasa 1 PPN.

“Kita tidak mahu nanti muncul pula Kluster Yan, jadi saya minta kerjasama semua pihak kalau mahu membantu dibenarkan tetapi perlu ikut saluran yang betul. Jangan risau, PKOB Yan akan aturkan," katanya pada sidang akhbar semasa Op Bantu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap di Kuala Nerang pada Rabu.

Jelas Kamarul Zaman, PKOB Yan akan melakukan penghantaran kepada mangsa bencana termasuk menyusun kawasan buat sukarelawan membersihkan rumah mangsa yang terlibat.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah mengesahkan telah mengenalpasti sebanyak 28 kes positif Covid-19 di kawasan yang terlibat dengan bencana banjir di Yan.

Pengarahnya, Dr Othman Warijo berkata, selepas penilaian segera dilakukan, tiga kes dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, 10 kes pula dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Sungai Petani untuk pengawasan lebih rapi manakala 15 kes lagi yang tanpa gejala atau bergejala ringan terus tinggal di rumah masing-masing dan diawasi oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Daerah Yan.