Perkhidmatan perunding pembinaan dibenar operasi semula

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat perunding sektor pembinaan dibenarkan beroperasi semula dalam Fasa 1 dan 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa semalam.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan kebenaran itu terpakai kepada syarikat perkhidmatan perunding seperti arkitek, jurutera, juruukur bahan dan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang berkaitan.

Bagaimanapun, semua syarikat itu harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan serta kesemua syarat, peraturan dan SOP lain yang sedang berkuat kuasa.

“Permohonan untuk beroperasi hanya diperlukan bagi kawasan-kawasan di bawah PPN Fasa 1 dan Fasa 2 sahaja.

“Syarikat-syarikat perunding boleh memohon kebenaran beroperasi menerusi Sistem CIMS MITI di https://notification.miti.gov.my/ di bawah Kluster Pembinaan, dengan memilih salah satu sektor yang disenaraikan,” menurut kenyataan itu.

Sektor-sektor tersebut ialah Sektor 27 yang merangkumi perkhidmatan profesional atau perunding berkaitan dengan kerja-kerja dibenarkan, Sektor 32 (operasi pejabat) dan Sektor 33 (lain-lain kerja atau aktiviti pembinaan yang tidak tersenarai dalam Sektor 1 – 32 yang dibenarkan beroperasi berdasarkan pengisytiharan kadar vaksinasi pekerja.

Menurut CIDB, ia mempunyai kuasa untuk menutup tapak pembinaan yang didapati melanggar peruntukan Akta 520 atau mana-mana undang-undang bertulis yang lain termasuk Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dan Akta 446 (Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990). -Bernama

Artikel Berkaitan: